Tradisi era baharu lantik anak di pejabat menteri

- Advertisement -

SETIAP kali sidang media pasca kabinet, jarang kedengaran ada agenda serius kerajaan bagi menangani kemelut kehidupan rakyat sekarang.

- Advertisement -

Kalau ada pun menteri sering sebut import telur dari luar negara. Import sehingga harga pasaran tempatan stabil. Adakah ia boleh selesai untuk tempoh jangka panjang.

Isunya sejak pandemik melanda harga makanan haiwan ternakan melambung tinggi. Ada juga kaitan kesan peperangan di Ukraine.

Apa yang rakyat mahu, harga keperluan harian termasuk telur dan ayam diturunkan. Bagaimana caranya. Purata keperluan ayam di Malaysia 2.09 juta sehari, atau 62.9 juta sebulan.

Bagaimanapun peningkatan kos operasi ladang ternak kerana harga dedak melambung tinggi. Sebelum pandemik Covid-19 harga dedak RM80 sebeg.

Namun selepas wabak harganya meningkat kepada RM120 hingga RM125. Mengikut kajian seekor ayam seberat dua kilogram (kg) memerlukan 4 kg makanan bagi tempoh 35 hari sebelum boleh dijual.

Jadi kerajaan perlu ada langkah alternatif. Sebelum ini Kementerian Pertanian mencetus inovasi menghasilkan dedak ayam daripada isi rung kelapa sawit dan penanaman jagung skala besar.

Jabatan Pertanian melaksanakan penanaman jagung bijian bagi makanan haiwan sejak 2018. Sehingga sekarang seluas 280 hektar jagung bijian di tanam di Perlis, Kedah, Pahang, Perak dan Sarawak.

Jagung bijian merupakan bahan utama menghasilkan makanan haiwan. Tahun 2020 negara kita mengimport 4.01 juta tan makanan ternakan. Ia bernilai RM6.15 bilion. Itu perancangan kerajaan lama.

Namun, dalam tempoh hampir tiga bulan usia kerajaan PH-BN menteri asyik bercakap import telur dari luar negara. Kita tidak boleh salahkan menteri, kerana kerajaan sekarang menghabiskan masa meneropong salah laku kerajaaan lama.

Sekarang pihak yang berada di luar kerajaan PH-BN hanya Perikatan Nasional (PN). Jadi PN lah disasarkan.

Selepas mesyuarat kabinet pun perdana menteri bercakap tentang PN. Pada bulan pertama kerajaan PH-BN diberi kuasa dilontar dakwaan PN mendapat sumber kewangan dari syarikat judi.

Isu itu dibangkit Disember lepas. Perdana menteri dilapor membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian.

Selepas gagal menampilkan bukti, kerajaan PH-BN mendakwa pula pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan ada pelanggaran serius prosedur perbelanjaan hampir RM600 bilion kerajaan PN.

Dan minggu lepas didakwa pula akaun Bersatu mempunyai RM300 juta. Dakwaan itu bagi pemimpin PN jelas bermotif politik. Isu terbabit juga disebut kepada media selepas mesyuarat kabinet.

Bagaimanapun Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mendakwa selepas tiada jumlah RM300 juta dalam akaun Bersatu pusat, lalu penyiasat geledah pula akaun Bersatu Pagoh.

“Kita tidak ada di sini (Bersatu Pusat), kemudian SPRM pergi ke Bersatu Pagoh pula. Itu tugas dia tak apalah..” kata Muhyiddin pada sidang media Khamis lepas.

Jangan marah kalau ada orang sebut kerajaan sekarang seperti tertukar gelanggang. Sebelum ini biasanya perdana menteri mengumumkan perkara yang diputus dalam mesyuarat kabinet.

Itu amalan sebelum ini. Mungkin juga mesyuarat kabinet versi sekarang ada bincang salah laku kerajaan lama. Sedangkan kabinet PH-BN masih ada bekas jemaah menteri kerajaan lama.

Apabila kerajaan PH-BN menyelongkar dakwaan salah laku kerajaan lama, tentunya ia terpalit juga beberapa menteri yang ada sekarang.

Nampaknya usaha mengaibkan kerajaan lama seperti drama bersiri. Namun, tiba-tiba isu tersebut tenggelam apabila perdana menteri mengakui melantik anaknya sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri.

Isu tersebut sudah terang lagi bersuluh. Bukan lagi sekadar dalam ‘siasatan.’ Tiada apa lagi yang perlu disembunyikan.

Dan lebih mengejutkan lagi apabila portal berita Khamis lepas melaporkan ada lagi pemimpin PKR melantik anak sendiri.

Laporan itu menyebut Speaker Dewan Rakyat melantik anaknya sebagai pegawai tugas-tugas khas di pejabatnya. Perkara itu didedah Badrul Hisham pada ciapan di Twitter.

“Awalnya dalam direktori staff ada tertera nama Mohammed Iqbal bin Johari sebagai PTTK (pegawai tugas khas),” laporan terbabit dipetik.

Jumaat lepas Johari dilapor menyebut Mohammed Iqbal menjadi pegawainya sejak 14 tahun lalu dengan elaun dibayarnya sendiri.

Menurut laporan media Johari akan mempertimbangkan untuk memohon pelantikan anaknya, sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat. Sedangkan menurut CheguBard nama Iqbal sudah ada dalam direktori staff.

Nampaknya naratif yang berlaku sekarang mengulangi agenda 2018. Ketika itu hampir semua pemimpin PH menghodohkan BN. Mereka menjaja isu 1MDB dan rasuah siang malam.

Dan hari ini versi serupa diulang semula. Versi 2022 hanya sekadar bertukar ketua, namun daya fikir dan agenda bertindak hampir serupa. – HARAKAHDAILY 6/2/23

- Advertisement -