Idris tinjau masalah utama pesawah padi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Nasi merupakan makanan ruji atau makanan utama rakyat Malaysia, kata Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad.

- Advertisement -

Malah, katanya Perak mempunyai jelapang padi iaitu di daerah Kerian.

Sehubungan itu, beliau turun ke Kedai Dua Kuala Kurau untuk mendengar masalah dan aduan para petani berkenaan sawah padi yang telah mereka usahakan, pagi tadi.

Katanya, menurut aduan yang dilaporkan daripada penduduk kampung, antara masalah utama yang dihadapi oleh para pesawah adalah mengenai sistem pengaliran yang tidak baik.

Akibatnya, ujar beliau hasil pertanian menjadi berkurang disebabkan oleh sistem perparitan.

“Malah, saya turut dimaklumkan bahawa apabila sistem pengairan tidak diurus dengan baik, air bertakung di dalam sawah padi sehingga menyebabkan tanah menjadi lembik dan mesin padi terbenam serta sukar untuk masuk ke kawasan sawah padi,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS menambah, antara masalah lain yang dihadapi oleh para petani adalah termasuk kualiti padi benih, kualiti baja subsidi dan juga kualiti racun subsidi.

“Saya telah mengambil maklum setiap permasalahan yang telah diajukan dan akan saya panjangkan isu ini ke Dewan Rakyat demi perjuangan nasib para petani yang terkesan. Insya-Allah,” ujarnya lagi.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Ketua Unit Peladang Kedai Dua Kuala Kurau, Jamaluddin Chik, yang juga Pegawai Khas ADUN Selinsing, Ustaz Sallehuddin Abdullah kerana telah mengumpulkan para pesawah untuk berbincang mengenai isu itu secara tuntas untuk mencari titik penyelesaian terhadap permasalahan yang disuarakan.

“Alhamdulillah, suasana perbincangan berlangsung dengan sangat baik dan santai serta saya menerima input yang banyak daripada para petani yang hadir,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 6/2/2023

- Advertisement -