STOCKHOM: Pegawai Sweden, Kementerian Luar Israel dan Kedutaan Israel, bekerjasama menghalang penunjuk perasaan yang mahu membakar kitab suci Yahudi, Torah di ibu negara Sweden, semalam.
Sekumpulan pelampau meminta permit polis, berusaha untuk mengadakan protes di luar Kedutaan Israel di sini dan mahu membakar skrol Torah, lapor sebuah portal berita dalam talian berpangkalan di Türkiye, Yeni Safak.
Namun, sebaik sahaja berita itu diketahui, diplomat Israel bergegas menghubungi rakan sejawatan mereka di Sweden, meminta protes dihalang dengan alasan “tindakan kebencian”.
Keadaan ini mencerminkan sikap kepura-puraan Sweden secara terang-terangan apabila membenarkan seorang pemimpin berhaluan kanan, Rasmus Paludan, membakar senaskhah al-Quran di luar kedutaan Turki di Stockholm pada 21 Januari lalu.
Türkiye dan banyak negara Islam mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan keji itu yang dilakukan dengan kebenaran dan perlindungan polis Sweden.
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan keji terhadap kitab suci kami, al-Quran di Sweden, walaupun memberikan amaran berulang kali sebelum ini.
“Membiarkan tindakan anti-Islam yang menyasarkan umat Islam dan menghina nilai-nilai suci kita, dengan bertopengkan kebebasan bersuara tidak boleh diterima sama sekali. Ini adalah jenayah kebencian yang terang-terangan,” kata kenyataan Kementerian Luar Turkiye.
Walaupun Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson menyifatkan “membakar kitab yang suci kepada ramai orang adalah tindakan yang sangat tidak menghormati”, beliau mempertahankan kebebasan bersuara sebagai sebahagian asas demokrasi”.
Namun, permintaan pegawai Israel terhadap perbuatan yang sama mendapat tindak balas berbeza pihak berkuasa di Sweden.
“Kami sangat sibuk dalam beberapa hari kebelakangan ini cuba menghalang kejadian penuh kebencian ini dan bekerjasama dengan pegawai paling kanan di Kementerian Luar dan polis tempatan. Kami akan terus berusaha untuk mencegah kejadian memalukan seperti itu,” kata Duta Israel ke Sweden, Ziv Nevo Kulman, dalam media sosial.
Protes yang dirancang, termasuk membakar skrol Torah di luar Kedutaan Israel, dibatalkan selepas penganjur menarik balik permohonan mendapatkan permit.
“Individu yang menganjurkan demonstrasi itu menarik balik permohonan permitnya daripada polis,” kata jurucakap Kementerian Luar Israel, Lior Havat kepada JewishPress.com. – TRT WORLD