MAIWP rai 100 pasangan pengantin asnaf

Sebahagian daripada 100 pasangan pengantin tiba untuk majlis Walimatul Urus Perdana 2023 anjuran MAIWP di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada hari ini, 29 Jan 2023. (FOTO: MAIWP)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seramai 100 pasangan pengantin yang terdiri daripada asnaf fakir, miskin dan mualaf diraikan secara gilang-gemilang dalam majlis Walimatul Urus Perdana 2023 anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), di sini, hari ini.

Kesemua 100 pasangan pengantin yang diraikan tersebut telah diarak menaiki bas Hop on Hop Off KL mengelilingi Jalan Raja Laut sehingga ke tapak karnival di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sebelum disandingkan di pelamin dan diraikan dalam acara makan beradab sepanjang satu kilometer.

- Advertisement -

Majlis yang dirasmikan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar bertemakan ‘Nostalgia Adat Istiadat Kegemilangan Melayu Islam’. 

Mohd Naim berkata, kesemua pengantin turut diberikan sepersalinan pakaian perkahwinan setiap seorang lengkap dengan perhiasan bak sang raja sehari. 

“Setiap pasangan pengantin masing-masing juga menerima wang tunai sebanyak RM2,000 setiap pasangan,” tambah beliau.

Wajah-wajah ceria sebahagian daripada 100 pasangan pengantin yang diraikan dalam majlis Walimatul Urus Perdana 2023 anjuran MAIWP.

Sehubungan itu, Mohd Na’im turut melancarkan kempen Jom Kahwin khusus buat masyarakat di Wilayah Persekutuan yang merangkumi tiga wilayah – Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan. 

“Kempen Jom Kahwin akan berlangsung sepanjang tahun dengan disusuli pelbagai program menarik yang akan disediakan,” katanya. 

Objektif utama, menurut beliau adalah untuk memberi kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat khususnya di wilayah berkenaan akan kepentingan ilmu dalam membentuk keluarga sakinah, mawaddah dan rahmah seperti yang disebut dalam al-Quran, Surah Al-Ruum: Ayat 21. 

Seramai 100 pasangan pengantin diraikan dalam majlis Walimatul Urus Perdana MAIWP bersempena Karnival MAIWP 2023.

“Sakinah bermaksud ketenangan. Sebagai contoh bila kita pandang wajah suami, rasa tenang di hati. Bila menatap wajah isteri, hilang rasa gelisah, hilang segala masalah yang berselirat. Jika ada masalah dengan isteri atau suami sekalipun, selesaikan secara musyawarah, berbincang dan cari penyelesaian bersama. 

“Permasalahan kita dapat selesaikan secara bersama, sehingga kita suami isteri berasa tenang. Rasa lapang dada. Sebagai suami, kita menjadi insan yang memberi ketenangan kepada isteri. Begitulah sebaliknya,” jelasnya.

Tambah beliau, mawaddah dalam bahasa Arab bermaksud kecintaan yang begitu tinggi atau cinta yang membuak-buak. 

Sebelum diraikan dalam majlis bersanding dan makan beradab di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, pasangan pengantin diarak dengan menaiki bas Hop on Hop Off KL mengelilingi Jalan Raja Laut.

“Ia adalah seolah-olah kita tidak bertemu lama dengan suami atau isteri kita. Sebagai contoh, bila kita suami isteri sama-sama bekerja di pejabat, bila balik ke rumah pada jam 6 petang itu, bila bertemu, seolah-olah kita telah berpisah sudah lama seperti kursus di luar kawasan selama seminggu. Padahal hanya 8 jam sahaja berpisah. Tapi rasa macam seminggu berpisah”.

“Rahmah pula bermaksud kita sentiasa rasa belas ehsan kepada suami dan isteri kita. Maknanya kita terlalu kasih dan ehsan kepada pasangan kita mengatasi kasih kepada teman sekerja dan orang lain. Kita rasa gembira dapat membahagiakan pasangan kita. Dalam rumah tangga, tidak ada marah-marah tanpa sebab, tidak ada maki hamun. Tidak ada kezaliman,” ungkap beliau.

Sementara yang turut hadir ialah Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya; dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Saraya Arbi.

Barisan pasangan pengantin tiba di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur untuk acara makan beradab.

Lebih menarik lagi, majlis ini  berlangsung turut dimeriahkan lagi apabila dua pasangan pengantin dinikahkan Mohd Ajib secara langsung disaksikan oleh ratusan pengunjung yang hadir.

Sementara Mohd Daud pula berkata, sehingga Disember 2022, MAIWP telah mengagihkan sebanyak RM855.51 juta dana zakat kepada asnaf yang memerlukan. 

“Daripada jumlah tersebut sebanyak RM533.61 juta dibelanjakan melalui agihan zakat secara langsung menerusi skim bantuan-bantuan zakat dan zakat secara tidak langsung manakala RM30.86 juta diagihkan menerusi institusi pendidikan di bawah MAIWP.

“Pada tahun 2022, MAIWP telah membantu sebanyak 412 penerima dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.08 juta,” jelas beliau.

Dua pasangan pengantin dinikahkan secara langsung disaksikan oleh ratusan pengunjung yang hadir pada majlis Walimatul Urus Perdana berlangsung pada hari kedua Karnival MAIWP 2023.

Menurutnya lagi, skim bantuan  perkahwinan pada majlis yang diadakan hari ini tersebut  adalah salah satu skim bantuan zakat daripada 30 (skim) yang ditawarkan MAIWP.

“Ia bermatlamat untuk meringankan beban bakal pengantin dalam mengadakan majlis kenduri kahwin dengan setiap pengantin diberikan bantuan antara RM3,000 hingga RM5,000.

“Bantuan ini telah pun diperkenalkan sejak tahun 2006 yang bertujuan meringankan beban bakal pengantin dalam mengadakan majlis walimatul urus,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menitipkan nasihat kepada pasangan pengantin dalam majlis pada hari ini bahawa usah jadikan media sosial sebagai kayu ukur mencapai kebahagian dalam kehidupan rumah tangga.  

Sebahagian pengantin teruja diarak dengan menaiki bas bas Hop on Hop Off KL mengelilingi Jalan Raja Laut pada hari meraikan perkahwinan mereka ini.

“Setiap pasangan perlu berusaha dan jadikan perkahwinan yang dibina berlandaskan al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Semoga perkahwinan yang dibina ini sentiasa dilimpahi rahmah dan barakah dari-Nya.

“Marilah kita sama-sama berdoa agar keamanan dan kenikmatan yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada kita dapat terus kita kecapi selamanya,” katanya. 

Selain meraikan 100 pasangan pengantin berkenaan, Karnival MAIWP 2023 pada hari kedua berkenaan turut menampilkan bengkel kartun, pertandingan melukis poster, demostrasi robotik, program pendidikan MAIWP dan pementasan As-Sabil (seni budaya antarabangsa). – HARAKAHDAILY 29/1/2023

- Advertisement -