TELUK INTAN: Kata-kata mantan Presiden Umno, Tun Abdul Razak Hussein yang menyeru supaya orang Melayu memilih PAS sekiranya berlaku sesuatu terhadap Umno, seakan dapat membaca masa depan parti itu dahulu.
Yang Dipertua PAS Kawasan Teluk Intan, Azhar Rafiei berkata, Tun Razak seperti memberitahu bahawa suatu masa nanti Umno akan dirosakkan pemimpin yang berkepentingan sehingga sanggup menggadai prinsip perjuangan dijulang selama ini.
Beliau mengulas keputusan Majlis Tertinggi Kerja (MKT) Umno yang memecat dan menggantung enam tahun beberapa pemimpin parti itu antaranya Khairy Jamaluddin, Tan Sri Noh Omar, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Shahril Hamdan.
“Keputusan itu sudah pasti mendatangkan kekecewaan di sanubari ahli-ahli dan penyokong akar umbi Umno. Tatkala ada yang bersuara mempertahankan dasar perjuangan serta keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU), mereka ditendang keluar parti.
“Apabila MKT Umno sudah tidak mahu bergerak menyatukan ummah, tiba masanya ahli-ahli sendiri bergerak demi memandu ummah, membanting tulang keringat mempertahankan perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air,” seru beliau.
Azhar berkata, inilah masanya untuk ahli-ahli Umno bersama PAS dan Gelombang Hijau diterajui PERIKATAN NASIONAL (PN) untuk terus melangsungkan prinsip perjuangan yang telah mereka dukung selama ini termasuk agenda Penyatuan Ummah.
“PAS memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hakamnya menuju keredhaan Allah. Ini termaktub dalam Fasal 5 Perlembagaan PAS.
“Saya yakin dasar ini sangat dekat dengan jiwa perjuangan ahli-ahli Umno. Jadi inilah masa sesuai untuk menyertai PAS, meneruskan perjuangan ditinggalkan ibu ayah, tok nenek dahulu biarpun wadah berbeza,” pelawa beliau. – HARAKAHDAILY 29/1/2023
Ahli Umno dipelawa teruskan perjuangan bersama PAS
Advertisement