Kelantan optimis projek Kompleks Sukan dilaksana

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri optimis projek pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau di Selising Pasir Puteh tetap akan diteruskan kerajaan pusat di bawah teraju sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, projek berkenaan akan diteruskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

- Advertisement -

Katanya, peruntukan yang diluluskan kerajaan sebelum ini sebanyak RM256 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Semalam kita berbincang dengan kementerian berkenaan berkaitan projek pembinaan stadium terbabit. Kita terima respon positif di mana kerajaan pusat akan meneruskannya.

“Setakat ini, pembinaannya akan diteruskan dengan peruntukan seperti pernah diumumkan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi di sini.

Kompleks Sukan Bukit Merbau antara venue Sukan Malaysia (Sukma) di Kelantan pada 2026. Ia membabitkan pembinaan sebuah stadium utama berkapasiti 20,000 penonton dilengkapi padang bola sepak dan trek olahraga.

Kompleks tersebut juga bakal disediakan kemudahan arena tertutup yang memiliki gelanggang pelbagai guna dan boleh memuatkan 1,000 penonton.

Pembinaan kompleks itu dijangka bermula tahun ini dan siap sepenuhnya pada akhir 2025. – HARAKAHDAILY 19/1/2023

- Advertisement -