Kubur besar dijumpai di timur Republik Demokratik Congo

- Advertisement -

KIGALI (Rwanda): Pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menjumpai 42 mayat di beberapa tapak perkuburan besar di timur Republik Demokratik Congo.

- Advertisement -

Mayat mangsa termasuk 12 wanita dan enam kanak-kanak ditemukan di kampung Nyamamba wilayah Ituri, kira-kira 30 kilometer (18.6 batu) dari timur Bunia, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan timbalan jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, Farhan Haq.

Pasukan pengaman turut menemukan mayat tujuh lelaki di perkuburan kampung Mbogi di wilayah yang sama.

Kubur itu dijumpai selepas siasatan dijalankan oleh misi PBB di DR Congo yang dikenali sebagai MONUSCO.

Mereka menerima laporan bahawa kumpulan pemberontak Koperasi untuk Pembangunan Congo (CODECO) menyerang orang awam di kawasan itu pada hujung minggu lalu.

Haq berkata ia merupakan “penemuan yang mengerikan.”

Misi PBB menyeru agar individu yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan dan komited menyokong sistem kehakiman Congo bagi menyiasat serangan terbabit.

Sejak Disember 2022, sekurang-kurangnya 195 orang awam terbunuh, 68 cedera manakala 84 yang lain diculik dalam beberapa insiden yang dikaitkan dengan kumpulan bersenjata CODECO dan Zaire, menurut PBB.

Serangan baru-baru ini memaksa lebih 1.5 juta orang meninggalkan wilayah Ituri serta mengehadkan akses untuk pekerja kemanusiaan menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. – BERNAMA

- Advertisement -