Kelak orang seperti Cristiano Ronaldo sahaja yang mampu

Penginapan mewah di suite Hotel Raffles, Mekah, Arab Saudi yang mengadap Masjidil Haram. (FOTO: Makkah Hotel)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu kenaikan harga pakej umrah perlu diselesaikan secara tuntas lebih-lebih lagi antara dua pihak terbabit, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yang harus bekerjasama dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

- Advertisement -

Peguam Syarie, Mohd Hafiz Abd Razak berpendapat bahawa perkara tersebut perlu diselesaikan secara  ‘menang-menang’ antara pihak kerajaan, agensi-agensi pelancongan dan pihak yang terakhir adalah pemegang taruh.

“Pemegang taruh merupakan pengguna atau bakal-bakal jemaah yang akan menunaikan umrah ke tanah suci Mekah dan Madinah.

Mohd Hafiz

“Ini berikutan pada awal Januari lalu, media ada melaporkan mengenai bakal jemaah umrah diminta bersiap sedia mengenai kenaikan harga pakej umrah oleh agensi pelancongan masing-masing pada saat akhir sebelum mereka berlepas ke Tanah Suci,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Mohd Hafiz menegaskan bahawa kenaikan harga tiket penerbangan hampir mencecah 109 peratus, sementara pertambahan kos  penginapan (hotel) di sana  turut meningkat hampir 150 peratus.

“Kenaikan harga visa yang sebelum ini daripada harga RM200 hingga RM300 pada masa lalu. Kini telah hampir mencecah kepada harga RM700 hingga RM800 iaitu naik sehingga 370 peratus,” jelas beliau.

Sehubungan itu, ujarnya, ia memberikan gambaran yang menakutkan kepada para tetamu Allah SWT untuk mengunjungi Kota Mekah dan Madinah bagi mengerjakan ibadah umrah di sana.

“Ini kerana bajet permulaan mereka yang meletakkan suatu jumlah tertentu, tetapi terpaksa dinaikkan pada hari-hari terakhir untuk berangkat ke sana daripada agen pelancongan sendiri. 

“Jadi, kita takut rakyat akan tertipu atau terpedaya dengan janji harga pakej yang telah ditetapkan atau dikunci terlebih dahulu. 

“Contohnya, pada bulan ini (Januari) dan pada bulan Mei nanti akan dinaikkah lagi atas alasan-alasan yang tidak munasabah yang mengatakan bahawa pihak kerajaan Arab Saudi yang telah menaikkan,” soal Mohd Hafiz.  

Pemandangan memukau sekitar hotel mewah Al Marwa Rayhaan by Rotana -yang terletak di Abraj Al Bait , Ajyad Street, Mekah, Arab Saudi. (FOTO: Booking.com)

Ibadah hanya untuk orang kaya

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak kerajaan Arab Saudi telah menetapkan satu keputusan yang drastik dan mendadak dalam menaikkan harga pakej umrah kepada jemaah.

“Namun begitu, kita tidak mahu perkara ini berlaku pada kemudian hari dan para jemaah terpaksa membatalkan hasrat untuk pergi ke tanah suci Mekah dan Madinah.

“Suatu hari kelak, kita melihat Kota Mekah dan Madinah ini tidak ada siapa-siapa lagi yang mampu ke sana. Orang-orang yang mampu pergi ke sana nanti adalah seperti Cristiano Ronaldo yang baru sahaja dibeli oleh Kelab Bola sepak Arab Saudi. 

“Mereka yang mampu pergi ke sana adalah mereka yang kaya-raya dan ia akan menjadi satu falsafah bahawa hanya orang-orang kaya dapat melakukan ibadah (umrah dan haji) di sana.” Jelasnya.  

Sudah banyak premis bangunan hotel-hotel mewah telah dibina berhampiran kota Mekah. (FOTO: Booking.com)

Beliau turut memberitahu, perkara-perkara yang berkaitan dengan ibadah ini juga sejak akhir-akhir ini telah dikomersialkan.  

“Ini merupakan satu malapetaka yang sangat buruk dalam Islam, lebih-lebih lagi kita umat Islam yang seharusnya boleh bertolak ansur dan bertoleransi dan berbincang dengan pihak Kerajaan  Saudi melalui Kementerian Agama (Hal Ehwal Jabatan Agama), Kementerian Pelancongan, ejen-ejen pelancongan untuk bekerjasama memberikan tawaran menarik kepada Malaysia dan ejen-ejen yang mengendalikan pakej umrah.

“Kita tidak mahu Kota Mekah dan Madinah yang merupakan kota suci yang dijanjikan Allah S.W.T sejak diciptakan langit sehingga hari kiamat, dikotori oleh tangan-tangan manusia yang sewenang-wenangnya menindas dan menzalimi masyarakat dan umat Islam untuk ke sana,” tegasnya. 

Tambah beliau, sepatutnya kota suci Mekah dan Madinah adalah sepertimana yang telah Allah SWT jamin  bahawa perlu dipermudahkan umat Islam untuk  ke sana. 

“Kota suci Mekah dan Madinah ini, sepatutnya mudah untuk kita kunjungi sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W.,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/1/2023

- Advertisement -