ARAU: Kerajaan Perlis berusaha menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri tersebut dengan memperkenalkan produk yang sinonim dengan penduduk setempat.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, usaha itu boleh dilakukan dengan menggalakkan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) untuk mengeluarkan produk-produk beridentitikan Perlis.
Antaranya kata beliau makanan atau cenderahati yang boleh dibeli pelancong.
“Kerajaan negeri sentiasa memikirkan langkah yang sesuai bagi membantu meningkatkan sektor pelancongan,” katanya ketika ditemui selepas melawat Rumah Warisan Arau dan Projek Pekan Warisan Bandar Diraja Arau di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat negeri, Megat Hashirat Hassan dan Pengarah Urusan Ummul Travel & Tour Sdn Bhd, Rizwan Ahmad Badarudin.
Pekan Warisan Bandar Diraja Arau berusia lebih 100 tahun mempunyai beberapa lokasi menarik antaranya Masjid Negeri, Nat Pokok Getah, Istana Arau, Pekan Lama Arau, Rumah Warisan Pekan Diraja Arau dan Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Arau.
Menteri Besar juga berkata, kawasan itu berpotensi dibangunkan kerana ia merupakan bandar diraja dan bersejarah.
Katanya lokasi itu akan digazetkan sebagai tapak warisan sejarah yang mampu menjadi tarikan pelancong ke Perlis.
“Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan bagi memastikan kawasan ini digazetkan sebagai tapak warisan sejarah,” katanya.
Sementara itu, Wan Badariah berkata, Rumah Warisan menyediakan tempat menarik untuk pelancong bergambar bagi mengabadikan kenangan.
“Ia sesuai dengan suasana era 1970. Terdapat juga kedai-kedai makan dengan variasi pilihan menawarkan harga yang berpatutan,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/1/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!