
NEWPORT NEWS, Virginia: Insiden seorang guru cedera parah ditembak seorang murid berusia 6 tahun di sebuah sekolah menunjukkan bahawa ia adalah sebagai tanda amaran ‘bendera merah’ buat Amerika Syarikat.
“Ini adalah amaran ‘bendera merah’ untuk negara (Amerika Syarikat),” tegas Datuk Bandar Newport News, Phillip Jones ketika pihak berkuasa tempatan masih bergelut untuk memahami bagaimana seorang kanak-kanak yang masih terlalu muda tersebut boleh terlibat dalam kejadian tembakan di Sekolah Rendah Richneck itu, lapor AP.
Dalam kenyataan pada Ahad (7 Jan), Jones berkata bahawa keadaan mangsa tembakan, Abby Zwerner, 25, yang masih dirawat di hospital kini menunjukkan perkembangan yang ‘semakin positif’.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran terperinci mengenai kejadian tembakan itu, atau bagaimana budak lelaki itu mendapat akses kepada pistol, atau siapakah sebenarnya yang memiliki senjata tersebut.
“Saya fikir, susulan insiden terbaharu ini, perlu diadakan perbincangan di seluruh negara tentang bagaimana perkara seperti ini boleh dicegah pada masa hadapan,” ujarnya.
Terdahulu, Ketua Polis tempatan, Steve Drew bertemu dengan guru itu dan keluarganya pada pagi Sabtu (7 Jan).
“Keadaannya (Abby Zwerner) telah bertambah baik dan kini dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, budak lelaki itu menembak dan mencederakan Zwerner dengan pistol di dalam kelas darjah satu pada Jumaat (6 Jan) di sekolah terbabit.
Drew berkata, tembakan itu bukan secara tidak sengaja susulan berlaku pertengkaran, yang mana beliau bagaimanapun enggan menerangkan secara terperinci apakah yang membawa kepada pertengkaran atau sebarang butiran lain tentang apa yang berlaku di dalam bilik darjah berkenaan, sambil menegaskan bahawa siasatan yang sedang dijalankan.
Undang-undang jenayah Virginia
Dalam pada itu, sistem undang-undang jenayah Virginia tidak membenarkan kanak-kanak berumur 6 tahun dibicarakan sebagai orang dewasa.
Di samping itu, seorang kanak-kanak berusia 6 tahun juga diklasifikasikan sebagai terlalu muda untuk komited dalam jagaan Jabatan Kehakiman Juvana jika didapati bersalah.

Walau bagaimanapun, hakim juvana mempunyai kuasa untuk membatalkan hak penjagaan ibu bapa dan meletakkan anak mereka di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Sosial.
Pakar yang mengkaji keganasan senjata api pula berkata bahawa kejadian tembakan itu merupakan kejadian yang sangat jarang berlaku kerana seorang kanak-kanak kecil yang membawa pistol ke sekolah dan mencederakan seorang gurunya.

“Ia sangat jarang berlaku dan bagi saya, ia bukanlah sesuatu yang sistem undang-undang benar-benar direka atau diposisikan untuk menanganinya,” kata penyelidik David Riedman, yang juga pengasas pangkalan data yang menjejaki siri kejadian penembakan di sekolah-sekolah AS sejak 1970.
“Setakat ini, seingat saya, cuma ada tiga lagi tembakan yang disebabkan oleh murid berusia enam tahun.
“Ini termasuk tembakan maut seorang rakan murid pada 2000 di Michigan; serta tembakan yang mencederakan murid lain pada 2011 di Texas dan 2021 di Mississippi,” jelas beliau.
Kes murid berusia lima tahun
Menjelaskan lebih lanjut Riedman berkata dia hanya mengetahui satu lagi contoh murid yang lebih muda daripada kes terbaharu itu menyebabkan kejadian tembakan di sebuah sekolah, yang mana seorang seorang murid berusia lima tahun membawa pistol ke sekolah Tennessee pada 2013 dan melepaskan tembakan secara tidak sengaja tetapi tiada yang cedera.
Sementara profesor di Universiti Johns Hopkins yang mengkaji keganasan senjata api, Daniel W. Webster bersetuju bahawa seorang kanak-kanak berusia enam tahun menembak seorang guru di sekolah adalah ‘sangat luar biasa’.

Namun, beliau berkata bahawa penyelidikannya menunjukkan bahawa contoh kanak-kanak kecil mengakses senjata api dan menembak diri mereka sendiri atau orang lain secara tidak sengaja di rumah atau tetapan lain adalah semakin meningkat di AS.
“Seorang kanak-kanak berusia 6 tahun mendapat akses kepada pistol yang dimuatkan peluru dan menembak dirinya atau orang lain, jarang berlaku,” katanya dalam e-mel.
Sementara, Newport News Public School dalam laman Facebooknya mengeluarkan kenyataan bahawa penyiasat masih menyiasat dari mana kanak-kanak tersebut memperoleh pistol itu.
“Kesemua murid dan ibu bapa di sekolah ini telah disatukan dalam satu pertemuan,” ujar kenyataan tersebut.
Menurut laman web Jabatan Pendidikan Virgina, Sekolah Rendah Richneck mempunyai kira-kira 550 murid yang berada di tadika hingga darjah lima.
Sementara Newport News merupakan sebuah bandar dengan populasi berjumlah 185,000 yang terletak di tenggara Virginia terkenal dengan limbungan kapalnya, yang menjadi pusat pembinaan kapal pengangkut pesawat dan kapal Tentera Laut AS. – HARAKAHDAILY 9/1/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!