Semua dibantu, tetapi ikut keutamaan terpenting

- Advertisement -

DALAM Islam kita belajar Fiqh Awlawiyyat atau Fiqh Keutamaan. Antaranya kita perlu membezakan antara keperluan mendesak dengan urusan yang menjadi pelengkap.

- Advertisement -

Contohnya, kita ada duit RM5,000. Sampai ke Pejabat ADUN permohonan untuk baiki atap rumah rakyat yang bocor sementara satu lagi permohonan untuk pasang aircond di surau. Tentunya ambo akan beri keutamaan peruntukan untuk baiki atap yang bocor dulu. Permohonan pasang aircond di surau bukan kita tak lulus, cuma KIV dulu untuk kita selesaikan urusan yang lebih terdesak keutamaannya.

Permohonan bantuan untuk rakyat bagi tujuan biaya pembedahan di hospital akan kita dahulukan berbanding permohonan untuk nak pergi lawatan sambil belajar. Lawatan sambil belajar pun perlu. Tapi saudara kita yang kritikal di hospital lebih mendesak keperluannya.

Permohonan untuk masukkan bekalan air ke rumah rakyat kita akan dahulukan berbanding dengan permohonan nak cat dinding dewan orang ramai. Sekadar beberapa contoh mudah.

Alhamdulillah, rakyat kita boleh faham bila diberikan penjelasan yang baik. Komunikasi ini penting dan jurang antara kita yang mengurus dengan rakyat yang diurus perlu diminimakan. Dialog serta program temu mata secara berkala banyak membantu dalam aspek ini. Biar masyarakat dapat info terus dari kita dan mereka boleh tanya apa-apa yang kabur. 

Daging babi ada dimakan oleh rakyat Malaysia. Tapi tentunya orang yang makan ayam lebih ramai. Kita tak nak campur hak bangsa yang makan babi, tapi sebagai kerajaan tentunya selesai isu ayam lebih aula. Ini contoh simple pemahaman Fiqh Awlawiyyat.

Manusia tak akan mampu nak buat semua perkara tapi kita jangan tinggalkan semua perkara.

YB DR AZMAN IBRAHIM
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi Dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu – HARAKAHDAILY 4/1/2023

- Advertisement -