Medan peperangan kini telah berubah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jentera parti perlu sentiasa menjaga hubungan dengan Allah SWT.

- Advertisement -

Menurutnya, beliau menekankan perkara itu semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan 2023 PAS yang diadakan secara berkelompok bagi cawangan-cawangan kawasan Lipis di Dewan Abdullah Sani, Kompleks Al-Istiqamah Kampung Berembang, hari ini.

“Antara intipati penting dalam ucaptama yang saya tekankan ialah jentera PAS perlu sentiasa menjaga hubungan dengan Allah SWT,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Beliau juga berkata, medan peperangan kini telah berubah.

Menurutnya, zaman Nabi SAW dahulu mereka berperang di medan peperangan.

Namun, jelasnya zaman sekarang medan berperang melalui pilihan raya umum (PRU), demokrasi dan di media sosial.

Beliau turut melahirkan rasa kesyukuran dengan kemenangan PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka.

“Alhamdulillah, DUN Cheka telah mencatatkan sejarah Pahang Barat yang pertama menang dalam PRU15 sejak selepas kemerdekaan,” ujarnya yang juga Adun Cheka.

Bagi beliau, sesiapa yang terlibat dalam perjuangan PAS telah mencapai kemenangan.

“Justeru, marilah kita bersama-sama mengambil bahagian dalam jemaah ini.

“Terus perkukuhkan jentera dan tanzim kita kerana sesungguhnya Allah menyukai dan menyayangi mereka yang melakukan kerja dalam kalangan yang tersusun dan teratur,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 1/1/2023

- Advertisement -