MB hargai sukarelawan bantu mangsa banjir di Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Besar (MB) Kelantan merakamkan ucapan terima kasih kepada anggota pasukan keselamatan, NGO dan sukarelawan yang tidak jemu membantu mangsa banjir di Kelantan.

- Advertisement -

Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, tumpuan diberi sekarang pemulihan pasca banjir khususnya di Tumpat dan Pasir Mas.

Katanya orang ramai, NGO dan anggota pasukan keselamatan memberi kerjasama membantu penduduk kampung yang terkesan akibat banjir.

“Tumpuan sekarang pemulihan pasca banjir. Terdapat banyak premis termasuk sekolah, pejabat, kediaman penduduk dan masjid yang memerlukan khidmat sukarelawan bagi membersihkan kesan-kesan banjir.

“Saya rakam penghargaan kepada semua pihak termasuk Jabatan Amal Kelantan, Khidmat Malaysia, NGO, kakitangan awam, pelajar universiti serta sekarelawan yang bergotong-royong membersih rumah mangsa banjir dan premis awam,” katanya dalam catatan di laman sosialnya.

Beliau turut melahirkan perasaan syukur memandangkan keadaan banjir di Kelantan semakin pulih.

Kata beliau sehingga sekarang tidak sampai 3,000 orang di Pusat Pemindahan Sementara di Tumpat dan Pasir Mas.

Sementara itu pada program lain Ahmad menyampaikan bantuan bakul makanan kepada mangsa banjir di Kampung Kubang Panjang dan Chenderong Kubu di Dun Wakaf Bharu. – HARAKAHDAILY 26/12/2022

- Advertisement -