Tapak glamping akan disedia di View Point Wang Kelian

Wan Badariah Wan Saad
- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis akan menyediakan beberapa kemudahan asas di View Point Wang Kelian demi keselesaan pengunjung antaranya tapak glamping.

- Advertisement -

Bermula hari ini, View Point Wang Kelian yang menjadi daya tarikan baru pelancong ke negeri ini dikenakan bayaran.

Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Pelancongan; Kebajikan dan Bantuan Bencana dan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, bayaran tersebut adalah bagi kerja penyelenggaraan lokasi pelancongan itu.

“Caj yang dikenakan sangat minimum dan tidak terlalu membebankan serta langkah ini juga dapat membantu kerajaan negeri mengurangkan beban bagi menanggung kos penyelenggaraan di kawasan terbabit.

“Bayaran yang dikenakan itu adalah untuk memastikan semua aspek penyelenggaraan infrastruktur termasuk pengurusan sampah dapat dilakukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Untuk rekod, lokasi pelancongan itu turut mendapat pengiktirafan Gold Award Must Visit Place (Northern) sempena Malaysia Tourism Council Gold Award 2022 yang diadakan di Sarawak pada 22 Oktober lalu.

Menerusi notis pemakluman dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, tiada bayaran dikenakan kepada kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah dan golongan orang kelainan upaya (OKU).

Di samping itu, pengunjung tempatan berusia 18 tahun ke bawah hanya dikenakan bayaran RM1 seorang manakala pelancong luar negara berusia 18 tahun ke bawah pula dikenakan bayaran RM2 seorang.

Manakala pengunjung dewasa tempatan dikenakan bayaran RM2 seorang dan pelancong dewasa luar negara pula sebanyak RM5 seorang. – HARAKAHDAILY 21/12/2022

- Advertisement -