Sembilan saranan jadikan pelaburan teras utama Perlis

Haziq Asyraf Dun
- Advertisement -

KANGAR: Sembilan saranan wajar dilaksanakan bagi memastikan Perlis mampu menarik perhatian pelabur sesuai dengan tema Perlis Baharu.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun berkata, ia selaras dengan pembentangan Bajet 2023 oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli semalam yang menjadikan pelaburan sebagai teras utama.

“Antaranya memberi kepercayaan penuh kepada pegawai kerajaan menjalankan tanggungjawab mereka tanpa cengkaman politik.

“Hal ini akan meningkatkan produktiviti di kalangan pegawai kerajaan sekali gus akan memberikan impak positif kepada kerajaan negeri,” katanya ketika membahaskan Bajet 2023 pada persidangan DUN Perlis, di sini, hari ini.

Selain itu, katanya prasarana menjadi elemen penting untuk menarik pelabur asing datang melabur di negeri kita.

“Antara prasarana asas adalah sumber air yang baik, bekalan tenaga elektrik yang mencukupi dan paling penting adalah infrastruktur telekomunikasi yang kuat dan stabil kerana kebanyakan perkara hari ini memerlukan internet.

“Selain itu, kita juga perlu mempercepatkan proses birokrasi pentadbiran melalui sistem teknologi E-10 atau permit pembinaan ekspres.

“Sistem yang disediakan ini, khusus kepada pelabur yang datang ke negeri Perlis kerana ia menjimatkan proses undang-undang (legal process) kepada hanya 10 bulan sahaja,” ujarnya.

Di samping itu, tenaga kepakaran yang ada di Perlis perlu digemblengkan menerusi institusi yang ada dalam negeri.

“Kita ada universiti-universiti yang boleh membantu kerajaan negeri daripada sudut kepakaran,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 21/12/2022

- Advertisement -