Terengganu mula diserang

- Advertisement -

RANGKAIAN baru musuh Kerajaan PAS Terengganu dikhabarkan telah mengadakan perundingan bagi menyerang Terengganu dengan cara baru. Umno yang begitu ketagih untuk merampas Terengganu, dijangka akan mengetuai serangan ini. Menurut berita yang diterima, PH juga akan menyumbang kekuatan mereka, tidak boleh mengetuai pakatan ini kerana mereka dipandang hina di Terengganu.

- Advertisement -

Bayangkan kelapan-lapan kerusi Parlimen PH di Terengganu, kesemuanya PH hilang wang pertaruhan, hanya dua yang PH kalah di Kelantan tidak hilang daripada 14 kerusi Parlimen. Itupun setelah berbagai wayang dimainkan calon PH seperti menggunakan nama Ustaz Azhar di kertas undi, marah kerana tidak dibenar memeluk calon Kuala Nerus dan lain-lain. Walaupun Umno BN juga kalah teruk, tetapi mereka masih ada akar umbi yang kuat di dua negeri ini. Baik, kita tumpukan kepada Terengganu, bagaimana mungkin mereka boleh merampas kembali bumi bertuah ini.

Seruan Anwar sewaktu menang di PRU14 dahulu untuk merampas Terengganu, disambut dengan begitu bersemangat oleh penyokong mereka. Baru keluar penjara, itu yang dia laungkan. Namun kuasa Allah mengatasi kesombongan Anwar, akhirnya, dia sendiri yang disembamkan mukanya oleh Tun Mahathir melalui gerakan licik Tun, mungkin buah terakhir memalukan Anwar, kerajaannya tumbang.

Semenjak dari memperolehi kuasa, di mana-mana negeri, PAS tidak pernah memainkan harapan rakyat, yang mempercayai PAS akan berpegang kepada janji-janjinya melalui undi-undi yang diberikan rakyat. PAS berusaha jiwa dan raga, semampunya cuba mengotakan janji-janji mereka. Tidak seperti PH, sewaktu Tun menjadi Perdana Menteri, lalu berkata manifesto bukan kitab suci, PH marah, sebab Tun yang kata begitu, bukan mereka. Tetapi bilamana Anwar menjadi Perdana Menteri, janji mahu turunkan harga minyak, hanya RON97 sahaja yang turun. Bab rasuah? Entahlah, berbeza sangat dengan masa berkempen dulu.

Umno BN tahu, melalui pengalaman mereka bahawa mereka akan kalah jika bermain secara bersih dengan PAS. Sebab itu, Umno Terengganu dahulu pernah meminta Perdana Menteri menarik balik royalti petroleum kepada Terengganu. Selain itu, peruntukan kepada ADUN PAS, tidak diberikan dan berbagai sekatan dan ugutan dibuat. Inilah senjata utama mereka dalam menghalang PAS, bukan dengan cara demokrasi yang mereka laungkan.

Ternyata, dalam pada mereka menghalang PAS tahun 1999-2004 dahulu, undi PAS tidak terjejas teruk, tetapi undi Umno BN yang naik mendadak dengan beberapa isu yang terkait dengan SPR ketika itu. Walaupun menggunakan fitnah dan cerita rekaan terhadap PAS, Umno dan BN tidak pernah membuka sebarang kes terhadap PAS selepas kemenangan mereka. Jadi di sebalik PAS yakin menang, akhirnya tewas kerana jumlah undi yang meragukan itu.

PKR dan DAP ketika itu ada bersama PAS dalam Barisan Alternatif (BA). Kemudiannya DAP menarik diri dari BA kerana tekanan kuat terhadap mereka dalam isu negara Islam dan bukan kerana salah guna kuasa oleh PAS, malah sehingga akhir penggal, DAP tidak pernah mengatakan kesalahan PAS dalam pentadbiran. PKR tidak lekang mulut mereka memuji ketelusan pentadbiran PAS di kedua-dua Negeri Terengganu dan Kelantan.

Kini dengan waktu penggal pemerintahan berbaki hanya enam bulan sahaja lagi, Umno BN mencuba buat kali keduanya untuk merampas Terengganu, kali ini dengan bekas rakan pakatan PAS dahulu, PKR dan DAP. Dengan kuasa Allah mereka akan gagal. Dengan beberapa alasan logik dan usaha yang mereka akan lakukan.

Kegagalan mereka boleh dilihat apabila dibandingkan Umno BN Terengganu dahulu, bertukar hampir 80 peratus kepimpinan baru menggantikan saf Tan Sri Wan Mokhtar. Dan kemudiannya 20 peratus lagi baki yang tinggal itu digantikan terus pada tahun 2008, sebagai strategi Idris Jusoh untuk mengurangkan saingan menjadi Menteri Besar. Tetapi Umno BN Terengganu kali ini, mengekalkan muka lama. Dan muka lama itulah yang masih diingati dan dikenang ada isu dengan ketirisan harta rakyat dengan jumlah yang besar.

Keduanya, royalti. Ini adalah nadi kepada ekonomi Terengganu. Kira-kira 80 peratus sumber kepada pendapatan Negeri Terengganu. Tahun 2000, Umno BN Terengganu, tanpa rasa berdosa, mencadangkan ditarik royalti ini dan diluluskan. Mereka mengambil alih penguasaan perbelanjaan wang royalti yang sepatutnya digunakan oleh pemerintah negeri. Sekarang, royalti berada dalam tangan Kerajaan PAS. Dan PAS berbelanja mengikut piawai.

Hanya sahaja jika Umno BN Terengganu sekali lagi mencadangkan kepada Perdana Menteri ke-10 untuk menarik balik wang royalti sekarang, sebagaimana mereka lakukan dahulu. Pastinya Perdana Menteri akan bertanya dahulu kepada Menteri Kewangan bagi cadangan ini. Dan tentunya ia tidak dibenarkan kerana Perdana Menteri dan Menteri Kewangan adalah penentang kuat penarikan balik royalti kepada Terengganu tahun 2000 dahulu. Kecuali mereka berdua berubah hati dan prinsip dan mengikut cadangan Umno BN Terengganu.

Ketiganya ulamak. Umno BN Terengganu, ketandusan ulamak dari kalangan saf pimpinan mereka. Pada 2004, BN merampas Terengganu, tiada ulamak dalam senarai Exco BN. Tahun 2008, Ahmad Said sediakan tempat bagi Khazan Che Mat menjadi Exco Agama dan Ramli Haji Nuh sebagai Timbalannya. Tetapi semenjak itu, ulamak Umno semakin berkurangan sama ada tidak dicalonkan atau dikalahkan. Ghazali Taib bukan ulamak, dilantik menjadi Exco Tugas-tugas Khas bagi portfolio agama. Sekarang ini, sepertinya Umno BN Terengganu mengambil Dr Khairuddin at-Takiri bagi mengisi kelompangan itu.

Cukup tiga ini dahulu untuk dihadam bahawa kekuatan Umno BN Terengganu sendiri semakin merapuh. Nanti mungkin kita bincang berkenaan isu pula. Apa isu yang hendak dimainkan mereka, PAS sudah bersedia, insya-Allah.

MOHD NASIR ABDULLAH
12 Disember 2022 – HARAKAHDAILY 12/12/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -