Watak di sebalik gerhana MN tiba-tiba muncul

Sebahagian peserta Himpunan Aman Rakyat Bantah ICERD di Dataran Merdeka pada 8 Disember 2018.
- Advertisement -

SUDAH terang lagi bersuluh. Apa maknanya. Cuba kita belek sekejap buku peribahasa. Maksudnya, ‘perbuatan yang pandir, bertanya tentang sesuatu yang sudah diketahui; mensia-siakan tenaga dan wang’.

- Advertisement -

Segmen itu benar-benar berlaku sekarang. Tidak perlu berselindung lagi. Tidak perlu bercakap berlapik dengan mecipta sejuta alasan.

Penafian demi penafian bertahun-tahun akhirnya terbongkar juga. Tentunya kita masih ingat. Pemimpin mana yang membantutkan agenda penyatuan ummah.

Sekali mahu dan sekali tidak. Pemimpin jenis apa kata Orang Asli di Pos Hau, Gua Musang.

Agenda Muafakat Ummah (MU) dicetus ekoran kegusaran orang Melayu ketika Putrajaya di bawah teraju Pakatan Harapan (PH).

Ia bermula dengan usaha kerajaan PH pada November 2018 mahu meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu P Waytha Moorthy dilapor berkata, sekiranya didapati wujud keperluan meratifikasi ICERD, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan membabitkan hak istimewa Bumiputera, tidak akan dipinda atau dimansuhkan.

Kerajaan PH juga berusaha meratifikasi konvensyen hak asasi manusia antarabangsa yang masih belum ditandatangani.

Antaranya Perjanjian Antarabangsa Hak Sivil dan Politik; dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Penderaan dan Perlakuan atau Hukuman Lain yang Kejam, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Martabat.

ICERD menjadi titik mula kebangkitan orang Melayu. Mereka membantah beramai-ramai. Biarpun menteri memberi jaminan hak istimewa Bumiputera tidak terjejas, namun ia tidak lebih sekadar janji manis.

ICERD menyentuh kebebasan dan mahu kurangkan diskriminasi. Perkara itu sudah lama diperjuangkan DAP. Ia terkandung dalam Deklarasi Setapak 1967.

Deklarasi itu menolak usaha kerajaan mengkelompok Bumiputera dan bukan Bumiputera. Sedangkan Artikel 153 Perlembagaan memberi keistimewaan pribumi dan penduduk asal.

Bermula dari situ parti-parti dominasi Melayu dan NGO bangkit. Ia juga mempertautkan Umno dan PAS. Dari situ siri himpunan membantah ICERD diadakan di seluruh negara. Pentas pertama di Pasir Salak, Perak.

Akhirnya ia disimpulkan dengan kelahiran Piagam Muafakat Nasional (MN) pada 14 September 2019. Di sebalik Himpunan ICERD juga menjadi titik awal kejatuhan kerajaan PH.

Ketika itu perkataan MN begitu popular. Namun, harap panas sehingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Usaha untuk memperkukuhkan MN dengan mengundang Bersatu menjadi antara punca MN terbantut.

Biarpun surat pelawaan sudah dihantar, namun ia hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam. Akhirnya Annuar Musa disingkirkan daripada jawatan Setiausaha Agung Umno. Tempatnya diganti Ahmad Maslan.

Annuar antara tokoh yang beria-ia mahu MN disemarak. Bermula dari situ MN diposisikan. Ketika itu juga pemimpin utama Umno cuba mengkambinghitamkan PAS.

Kemuncaknya agenda Geng Z Umno meletak premis kesalahan ke bahu PAS.

Rupa-rupanya selepas setahun berlalu, sekarang jawapan terhidang di hadapan mata.

Siapa sebenarnya yang menggerhanakan MN tiba-tiba muncul. Watak yang berkali-kali menafikan ada hubungan rapat dengan Anwar Ibrahim akhirnya menjelma juga.

Ketika muncul audio perbualan pemimpin utama Umno dan PKR, begitu keras dinafikan. Nah, sekarang sudah dijelma di hamparan permaidani merah bercorak biru.

Ramai tidak yakin watak seperti itu mampu bertahan lama. Lain di hati lain di mulut, pastinya boleh membawa padah.

Bilah masa bergerak pantas. Hari ini mendapat habuan jawatan Kabinet dan kuasa, esok belum tentu tiada gelora.

Fenomena akar umbi Umno meninggal parti semakin menjadi-jadi. Ia tidak mampu dibendung lagi. Seperti kata Mursyidul Am PAS Ustaz Hashim Jasin, sekarang sudah jelas siapa yang menconteng onar MN.

Katanya, selepas PRU15 Umno memilih untuk berkawan dengan PH berbanding Perikatan Nasional. Ia berlaku di Putrajaya, Perak dan Pahang.

Bagaimanapun kata beliau di sebaliknya drama hitam itu semuanya ada hikmahnya. Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut sekarang tidak menang tangan menerima borang keahlian PAS.

“Perkara ini pernah berlaku ketika PAS berpisah dengan DAP dalam Pakatan Rakyat, tempoh sebulan kita menerima 18,000 ahli baharu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/12/2022

- Advertisement -