Penduduk bina bangsal di tempat tinggi hadapi banjir

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Tindakan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion tidak diteruskan mengundang kegusaran orang ramai.

- Advertisement -

Lebih-lebih lagi penduduk yang sering berdepan dengan banjir setiap kali musim tengkujuh. Mereka menyifatkan langkah tersebut lebih bermotif politik.

Oleh itu, mereka berharap projek tebatan banjir yang sudah dilaksana diteruskan memandangkan projek serupa di sebelah Thailand sudah lama siap.

Malah ada penduduk mengambil langkah membina bangsal sementara di tempat lebih tinggi sebagai tempat berpindah ketika banjir melanda.

Abdullah Pa

Seorang penduduk Kampung Putat, Abdullah Pa, 64, berkata beliau membina bangsal kerana pengalaman pernah tinggal dalam hutan kerana kediamannya ditenggelami banjir Februari lalu.

Situasi itu, katanya turut mendorong sebahagian penduduk membina bangsal sebagai tempat berlindung memandangkan pusat penempatan sementara (PPS) tidak mampu menampung ramai mangsa banjir.

“Banjir awal tahun ini begitu besar sehingga air naik dua meter pada kali pertama menyebabkan PPS penuh dan tidak selesa didiami.

“Ada penduduk terpaksa dirikan khemah sementara dalam hutan berhampiran kampung untuk berlindung bersama keluarga termasuk anak-anak kecil,” katanya ketika ditemui.

Rokiah Liah, 42, dari Kampung Putat Tujuh pula berkata, lokasi PPS baharu yang dicadangkan kerajaan dan bangsal sementara dibina penduduk di kawasan lebih tinggi.

Katanya tanah tersebut diberi kebenaran oleh pemiliknya bagi penduduk yang mahu membina bangsal sementara untuk berteduh ketika banjir.

Adun Gual Periok, Dato’ Muhammad Awang, menziarahi penduduk

Sementara itu, Adun Gual Periok, Dato’ Muhammad Awang berkata, sebuah lagi PPS akan dibina di Kampung Putat Tujuh dekat sini sebagai persediaan untuk menghadapi banjir.

Katanya, kemudahan tersebut akan diwartakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau berkata, PPS sedia ada tidak lagi mampu menampung peningkatan jumlah mangsa banjir sehingga ada dalam kalangan mereka mengambil inisiatif membina bangsal sebagai tempat pemindahan sementara.

“Kita memahami ada penduduk tidak mahu tinggal di PPS, malah kita akan bantu mereka bagi keselesaan penduduk terbabit berpindah ke tempat selamat.

“Kampung Putat Tujuh akan terkepung apabila berlaku banjir. Kita ada kawasan berhampiran jalan kampung untuk dibina PPS baharu,” katanya ketika ditemui di sini. – HARAKAHDAILY 7/12/2022

- Advertisement -