Kerajaan baharu Perlis lebih tenang, matang

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, melawat Galeri Diraja Arau
- Advertisement -

KANGAR: Biarpun Perlis diterajui kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namun keadaan politik lebih tenang dan tiada kenyataan yang menimbulkan kegusaran awam.

- Advertisement -

Berbeza dengan kerajaan baharu di peringkat Persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN), mengambil sikap agresif yang kelihatan bermotif politik.

Walaupun kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) Perlis boleh mencungkil kelemahan kerajaan BN sebelum ini, kerajaan negeri di bawah Mohd Shukri Ramli mengambil pendekatan lebih matang.

Bekas guru yang kini bergelar Menteri Besar memikul tanggungjawab yang besar, menerajui sebuah kerajaan negeri.

Adun Sanglang mengambil pendekatan lebih lunak dengan berkunjung ke pejabat-pejabat agensi kerajaan bagi mengikuti lebih dekat operasi jabatan terbabit bagi manfaat rakyat.

Hari ini seusai mengadap Tuanku Raja Perlis, Menteri Besar meluangkan masa melawat Galeri Diraja Arau.

Katanya, galeri tersebut menempatkan pelbagai koleksi simpanan barangan Diraja Perlis.

“Tarikan yang paling mendapat perhatian ialah kain kiswah atau lebih sinonim dengan kelambu Kaabah yang dihadiahkan pemerintah Arab Saudi kepada Perlis pada tahun 1965 ketika baginda berangkat ke Makkah.

“Di sini juga terdapat sebatang penyapu yang pernah digunakan untuk membersihkan pekarangan Kaabah di Makkah,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan ibu-bapa membawa anak-anak sambil belajar mengenali sejarah Diraja Perlis.

Katanya, pelancong dari luar juga dialu-alukan untuk datang ke Galeri Diraja Arau.

Semalam, Mohd Shukri berkunjung ke Syarikat Air Perlis bersama wakil Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.

Pada sebelah petang, beliau mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Veterinar dan Jabatan Kerja Raya Negeri Perlis. Turut hadir anggota-anggota Exco, Razali Saad dan Izizam Ibrahim.

Sehari sebelum itu, Menteri Besar menziarahi rumah penduduk yang ditimpa musibah ribut di Kampung Tok Pulau.

“Ketika kejadian, saya berada di Terengganu. Alhamdulillah, saya berkesempatan datang dan tengok sendiri. InsyaAllah, bantuan akan diberikan untuk membaiki semula kerosakan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/12/2022

- Advertisement -