Sempurnakan ‘kemenangan tertangguh’ di Tioman, Pdg Serai

- Advertisement -

ROMPIN: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan PRK N.42 Tioman sebagai ‘kemenangan tertangguh’ di mana berdasarkan keputusan PRU15 P.091 Rompin menunjukkan PERIKATAN NASIONAL mendahului parti-parti lain.

- Advertisement -

Hal itu juga hujah beliau, akan didasari oleh penilaian rakyat menerusi undi di Tioman dan P.017 Padang Serai yang dilihat bakal menghantar isyarat jelas menolak penggabungan Umno-BN membentuk kerajaan pasca-PRU15 bersama musuh politiknya Pakatan Harapan (PH).

Apatah lagi menurutnya, Pahang bukan lagi kubu kuat Umno di mana gelombang PRU15 lalu menyaksikan perkara tersebut, namun lonjakan yang diperolehi PERIKATAN NASIONAL belum cukup padu bagi memperolehi majoriti cukup membentuk kerajaan.

“Kita (di DUN Pahang) dah ada 17 (kerusi), kita perlu lagi lebih kurang lima kerusi lagi. Jadi tempat yang kalah pastikan semua akan datang, insya-Allah mudah-mudahan lima lagi kita dapat rakyat pengundi untuk kita buat perubahan (kerajaan).

“Insya-Allah kita akan menyaksikan satu kerajaan baru, kepimpinan yang baru, kehendak yang baru yang dapat kita buktikan dalam keputusan (PRU16) nanti insya-Allah,” ujar beliau pada Sembang Santai sempena N.42 Tioman di Bandar Baru Rompin, di sini pagi tadi.

Katanya, walaupun kemenangan di Tioman nanti tidak menyebabkan kerajaan bertukar, tetapi ia menunjukkan PERIKATAN NASIONAL menghampiri ke garis kemenangan dan meneruskan kehendak rakyat untuk melihat agenda perubahan diperjuangkan. 

Tegas beliau, PERIKATAN NASIONAL akan terus melangkah untuk sentiasa bertambah dan bergerak ke depan serta tidak akan berundur dalam membuktikan kemampuan serta menyahut sokongan daripada kalangan anak muda dan generasi tua yang beralih undi.

Dalam sesi dihoskan Ketua Penerangan PAS Negeri Pahang, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya tersebut, bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) itu juga diminta menyentuh mengenai PN yang menjadi pilihan majoriti pengundi Melayu berbanding Umno-BN pada PRU15.

Menurut Dato’ Tuan Ibrahim, kemerosotan atau penurunan tersebut berlaku kepada semua parti politik di dunia yang tidak bertahan lama kerana pelbagai pihak merasakan ia telah terlalu lama dan merasakan perlu satu perubahan atau pertukaran dilakukan.

Pun demikian katanya, perubahan kadang-kadang sukar berlaku kerana wujud pandangan bahawa hanya kerajaan mampu bawa pembangunan, tidak pembangkang di mana serunya pemikiran tersebut perlu dibetulkan kerana perkara itu boleh diperolehi.

“Sebenarnya itu fikir cara yang sangat salah. Kalau macam itu kenapa bandar Kuala Lumpur orang tolak, tukar, tukar BN, berpuluh tahun, bandar-bandar besar semua Barisan Nasional kalah. Apakah mereka tak ada pembangunan?” ujarnya mengajak berwacana.

Terangnya, apabila wujud keperluan dan desakan daripada rakyat di sesuatu tempat, sama ada kerajaan atau pembangkang akan tergerak untuk tuntutan yang berkenaan dipenuhi. – HARAKAHDAILY 1/12/2022

- Advertisement -