Iktibar agung surah al-Isra’ (19)

ORANG kafir meminta supaya Allah menurunkan malaikat untuk menjadi Rasul dan bukannya manusia. Sedangkan malaikat bukan penghuni dunia. Jika malaikat menjadi penghuni dunia, maka sudah tentu Allah akan menurunkan malaikat. 

Advertisement

Namun, disebabkan penghuni dunia ialah manusia, maka Allah menurunkan manusia. Jika malaikat diturunkan, orang kafir akan berhujah pula bahawa malaikat tiada nafsu, sentiasa melakukan amal baik dan meninggalkan amal buruk serta menumpukan perhatian sepenuhnya pada ibadah. Oleh sebab itu, adalah lebih baik Allah menurunkan Nabi yang terdiri daripada kalangan manusia. 

Orang yang diberikan petunjuk oleh Allah akan beroleh petunjuk di dalam kehidupan dan sebaliknya, orang yang diberikan atau didorong kepada kesesatan tidak mempunyai sebarang bantuan atau perlindungan daripada-Nya. 

Daripada tiada kepada ada, lebih mudah bagi Allah

أَوَلَمْ يَرَوْا۟ أَنَّ ٱللَّهَ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ قَادِرٌ عَلَىٰٓ أَن يَخْلُقَ مِثْلَهُمْ وَجَعَلَ لَهُمْ أَجَلًا لَّا رَيْبَ فِيهِ فَأَبَى ٱلظَّٰلِمُونَ إِلَّا كُفُورًا

“Tidakkah mereka mahu memikirkan dan meyakini bahawa Allah yang menciptakan langit dan bumi, berkuasa menciptakan orang-orang yang seperti mereka (dalam bentuk yang baharu), padahal Dia telahpun menentukan bagi mereka tempoh yang tidak ada syak padanya? Dalam pada itu, orang orang yang zalim enggan menerima melainkan kekufuran.”

(al-Israk: 99)

Persoalan yang dibangkitkan di dalam ayat ini bukanlah menandakan bahawa mereka ingin mengetahui jawapannya, namun hanyalah untuk mengejek. Jika manusia yang berfikir dengan bernas, persoalan tersebut tidak sepatutnya dibangkitkan. Sama situasinya dengan kejadian kita manusia. Asalnya kita tiada, Allah kemudian  mencipta kita daripada air mani dan kemudian lahirlah kita dalam pelbagai rupa, warna kulit, sifat dan sebagainya. 

Perkara yang asalnya tiada, namun Allah boleh jadikannya supaya ada, maka tentunya lebih mudah bagi Allah jika Dia nak menghidupkan semula kerana contoh sudah ada atau disebut sebagai ‘blueprint’. Misalnya, jika nak membina rumah mestilah ada pelannya. Jika rumah roboh atau dirobohkan, kita mampu membinanya semula dengan mudah. 

Sifat bakhil mencetus rasa sayang akan harta

قُل لَّوْ أَنتُمْ تَمْلِكُونَ خَزَآئِنَ رَحْمَةِ رَبِّىٓ إِذًا لَّأَمْسَكْتُمْ خَشْيَةَ ٱلْإِنفَاقِ وَكَانَ ٱلْإِنسَٰنُ قَتُورًا

“Katakanlah (wahai Muhammad): “jika kamu memiliki perbendaharaan rahmat Tuhanku pada ketika itu tentulah kamu akan berlaku bakhil kedekut kerana takut kehabisan; dan sememangnya manusia itu bertabiat bakhil kedekut”.”

(al-Israk: 100)

Manusia kebiasaannya bersifat kedekut. Jika diberikan harta perbendaharaan yang banyak sekalipun, tetap akan berkira. Kadang-kadang, berfikir macam mana nak bersedekah kerana tiada wang. Tetapi ketika ada wang, tidak bersedekah pula. Semakin ada banyak wang, semakin berasa sayang kerana betapa susahnya untuk memperolehnya. Perasaan itu hadir kerana bimbang wang akan habis. 

Sedangkan makin banyak kita berbelanja, makin banyak yang akan kita dapat. Namun, keyakinan sebegitu amatlah sukar. Kita berbelanja RM1, kita akan dapat RM10 malah akan digandakan lagi oleh Allah S.W.T dalam pelbagai bentuk yang kita tidak ketahuinya. 

Jika kita dapat membuang sifat bakhil dalam diri, ia menjadi mudah sebenarnya. Oleh sebab itu, bersedekah amatlah dituntut dalam agama. Begitu juga dengan zakat. Ia mengajar kita supaya tidak terlalu sayang pada harta walaupun ia merupakan zakat fitrah. Orang miskin yang mempunyai anak yang ramai sudah pasti merasa berat sekali untuk menunaikan zakat fitrah. Kewajipan ini adalah sebagai suatu latihan supaya kita tidak sayangkan harta dan yakin dengan janji-Nya. 

Segelintir orang-orang baik pada zaman dahulu jika rumah mereka dicerobohi oleh pencuri dan kesemua harta dicuri, mereka akan beranggapan bahawa mereka sebenarnya masih kurang bersedekah. Gudang-gudang yang terbakar pula akan dianggap berlaku mungkin kerana tidak membayar zakat. 

Masalah selesai, tetap tidak mahu beriman

وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا مُوسَىٰ تِسْعَ ءَايَٰتٍۭ بَيِّنَٰتٍ فَسْـَٔلْ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ إِذْ جَآءَهُمْ فَقَالَ لَهُۥ فِرْعَوْنُ إِنِّى لَأَظُنُّكَ يَٰمُوسَىٰ مَسْحُورًا

“Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Nabi Musa sembilan mukjizat yang jelas nyata (membuktikan kebenarannya); maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada Bani Israil (mengenai itu): Ketika Nabi Musa datang kepada Firaun dan kaumnya (serta menunjukkan mukjizatnya), lalu berkatalah Firaun kepadanya: “Sesungguhnya aku fikir, engkau ini wahai Musa, seorang yang terkena sihir””

(al-Isra: 101)

Nabi Musa A.S mempunyai 9 mukjizat iaitu antaranya adalah apabila Baginda menyelup tangan ke dalam lengan jubahnya, lalu dikeluarkan, tangannya akan bersinar. Mukjizat yang paling besar adalah tongkatnya yang bertukar menjadi ular. Yang lainnya adalah ribut taufan, katak, belalang, kutu dan darah. Semua ini muncul secara berturutan dan bukannya serentak. 

Air Sungai Nil bertukar warna kepada merah. Tiada siapa yang mampu menyelesaikan masalah itu hatta Firaun. Lalu, mereka berjumpa dengan Nabi Musa dan berjanji akan beriman dengannya jika Baginda dapat mengembalikan semula kejernihan air Sungai Nil. Baginda pun berdoa dan hilang warna merah itu dengan takdir-Nya. Namun, mereka tetap tidak beriman.

Kemudian, muncul pula belalang, katak dan sebagainya. Mereka tetap tidak beriman hingga ke akhirnya kerana hati mereka tidak menginginkannya.  Sama macam kita pada hari ini, walaupun terdapat bermacam-macam tanda kebesaran-Nya, namun tidak ramai yang beriman hatta orang Islam sendiri meragui kebenaran agama Islam. 

Nak laksana Islam, berasa ganjil?

Apabila sebut Islam, Islam hanya pada nama. Apabila sebut Islam, timbul pelbagai persoalan sama ada boleh atau tidak nak menjalankan hukum Islam, ekonomi macam mana kalau memerintah dengan cara Islam, pelabur datang ke tidak dan macam-macam lagi. Ini menunjukkan bahawa kita tidak yakin. 

Apabila tidak yakin, membuktikan bahawa kita tidak yakin dengan ajaran Allah S.W.T. Sebab semua itu merupakan perintah-Nya. Jika kita sendiri meragui Islam, maknanya kita mempunyai masalah dengan agama kita. Sejarah dahulu telah membuktikan bahawa apabila hukum Islam dijalankan, tidak berlaku pun kemunduran. Islam mencipta peradaban dengan ilmu dan teknologi. Orang Barat mendapat manfaatnya kerana belajar di universiti-universiti Islam seperti di Sepanyol. Islam telah memerintah Sepanyol selama 800 tahun dan menubuhkan universiti. Universiti asalnya daripada perkataan universal. Asas pemikiran datang daripada Dunia Islam. 

Ada yang mempersoalkan sama ada Islam boleh dilaksanakan ataupun tidak dalam negara yang bermasyarakat majmuk. Malah orang Islam tidaklah terlalu ramai dan merangkumi 51 peratus sahaja. Sedangkan pada zaman Nabi S.A.W, orang Islam tidak mencecah 50 peratus. Apabila Nabi berhijrah ke Madinah, bilangan penduduk Islam di Madinah hanya lebih kurang 1,000 orang. Oleh sebab itu, bilangan tentera yang berperang dalam Perang Badar hanya 313 orang. Jumlah ini merupakan jumlah penduduk yang mampu menjadi tentera. 

Manakala,  orang Yahudi yang sudah ada adalah seramai 3,000 hingga 5,000 orang. Pada masa itu, Nabi telah menubuhkan negara Islam di Madinah dan melaksanakan ajaran-ajaran Islam sebagai dasar kerajaan. Sejarah yang tidak kita ketahui menyebabkan kita mempersoalkan pelaksanaan hukum Islam kononnya kerana orang Islam tidak ramai dan kesan terhadap orang bukan-Islam. 

Sedangkan terbukti pada zaman Nabi orang bukan-Islam ramai dan hidup seperti biasa. Orang Yahudi tidak dipaksa memeluk Islam dan berkhatan cuma mereka diusir keluar setelah beberapa tahun kerana mereka sentiasa merancang untuk menjatuhkan Nabi. Walaupun Nabi berbuat baik, memberikan layanan baik, berlaku adil dan tidak menghalang agama mereka, namun Yahudi Bani Quraizah, Bani Qainuqa’ dan Bani Nadhir, sentiasa merancang sesuatu sehingga ke tahap ingin membunuh Nabi. Baginda mengusir mereka kerana mereka telah melanggar perjanjian dalam Piagam Madinah. Seorang pun daripada kalangan mereka tidak boleh kembali dan tinggal di Semenanjung Tanah Arab sehingga ke hari ini. 

Orang bukan-Islam tidak ditindas dalam kerajaan-kerajaan Islam terdahulu. Sewaktu Islam menguasai Mesir yang diketuai oleh Amru bin Al-‘As, apabila musuh nak menyerang, tentera Islam tidak ramai. Beliau ingin memberikan semula bayaran jizyah kepada orang bukan-Islam. Sebab apabila negara dikuasai oleh Islam, orang bukan-Islam haruslah membayar cukai atau jizyah sebagai tanda tunduk di bawah kerajaan Islam dan kerajaan Islam bertanggungjawab melindungi mereka sama ada darah, kehormatan, keluarga dan harta. 

Musuh yang ramai pada ketika itu menyebabkan Amru berbincang dengan panglima perangnya dan menyatakan ketidakmampuan untuk berlawan dek kerana bilangan mereka yang sedikit. Lalu, Amru memanggil ketua-ketua agama Kristian iaitu Koptik dan ingin menyerahkan semula cukai yang mereka bayar kerana orang Islam tidak mampu melindungi mereka. Apabila mendengarnya, mereka tidak mahu mengambilnya dan akan turut serta dalam peperangan. Mereka mahu menjadi tentera yang sama-sama berlawan dengan tentera Islam dalam mempertahankan Mesir daripada musuh dari Rom yang juga beragama Kristian. 

Kerelaan yang ditunjukkan adalah kerana mereka mengetahui bahawa sekiranya Amru memerintah negara, beliau akan memerintah dengan lebih adil, memberikan layanan yang baik, melindungi dan memberikan kebebasan kepada mereka. Jika musuh menang, mereka akan bertindak zalim dan memperlakukan mereka seperti golongan kelas kedua. Akhirnya, tentera Rom kalah dan dimenangi oleh tentera Islam yang disokong oleh tentera Kristian di Mesir. 

Oleh sebab itu, sehingga ke hari ini gereja lama masih ada di Mesir kerana tidak dirobohkan oleh Kerajaan Islam. Orang Kristian yang ada di Mesir pada hari ini adalah keturunannya sejak zaman nenek moyang mereka lagi. Berbeza dengan Kristian kini, ramai yang ‘convert’ daripada agama Buddha, Hindu dan sebagainya. Ini bermakna orang Kristian pada zaman dahulu tidak dipaksa untuk menukar agama mereka. Inilah contoh dalam sejarah yang menunjukkan kehebatan agama Islam. 

Lihatlah Qatar yang menjadi tuan rumah Piala Dunia Fifa World Cup 2022. Arak, hiburan dan bendera LGBT tidak dibenarkan. Piala Dunia boleh berjalan seperti biasa. Kita pula berfikir, kalau tidak menyediakan arak, orang tidak akan datang. Orang datang nak tengok bola, bukan nak minum arak. Nak buat pelancongan misalnya, mestilah dibuka kelab malam dan arak dijual sebab kalau tidak, pelancong tidak akan datang. Pelancong datang bukan nak minum arak sebab di tempatnya lebih daripada kita. Kalau semata-mata nak minum arak, lebih baik tidak usah datang. Macam kita nak pergi ke England sebab nak makan nasi kerabu, lebih baik tidak usah pergi. Oleh sebab itu, pelbagai ikhtiar dibuat supaya Parti Islam tidak dapat memerintah negara seperti yang berlaku di Algeria, pemimpin FIS walaupun menang namun dirampas kuasa oleh tentera dan pemimpin-pemimpinnya terpaksa melarikan diri ke luar negara sehinggakan ada yang dibunuh. Orang bukan-Islam tidak akan begitu mudah untuk memberikan peluang kepada Parti Islam tambahan pula mereka disokong oleh orang Islam sendiri yang mempunyai kepentingan. 

Qatar mempamerkan ‘masscot’ yang melambangkan orang kelainan upaya (OKU) yang bernama Ghanim Al-Muftah yang merupakan seorang penghafal Al-Quran berdialog dengan Morgan Freeman yang merupakan seorang pelakon terkenal di Barat. Dialog tersebut mengenai bagaimana untuk hidup dengan bangsa yang berlainan. Dia lalu membacakan satu potongan ayat Al-Quran [1] yang memberi maksud walaupun manusia berlainan warna kulit, namun kita semua adalah sama kerana diciptakan oleh Allah cuma yang membezakan antara kita adalah taqwa. 

Berbeza pula dengan Saudi yang membuka kelab malam. Sedangkan kalau ia tidak dibuka sekalipun, berjuta orang akan datang sebab manusia di seluruh dunia datang untuk menunaikan haji. Ada yang menganggap Qatar cuba membuktikan kepada dunia bahawa Islam sebenarnya boleh dilaksanakan ketika bersukan. Inilah keunikan dakwah yang ditunjukkan. 

Seperti di Kelantan, Dikir Barat, Makyong dan bermain bola dibolehkan tetapi biarlah mengikut panduan yang ditetapkan oleh agama. Apabila melaksanakannya mengikut Islam, kita boleh mendapat pahala. Misalnya apabila bekerja, kita bukan sahaja mendapat gaji, kita juga akan mendapat pahala. Pahala yang diperoleh oleh guru yang mengajar mungkin lebih banyak daripada yang duduk di dalam masjid kerana mereka mendidik masyarakat supaya menjadi orang yang berilmu dan berakhlak baik. 

Nabi pernah mengajak Sayyidatina Aisyah R.A untuk pergi melihat tarian pedang yang dimainkan oleh orang Habsyi di hadapan Masjid Nabawi. Nabi bukan melarang Aisyah daripada melihatnya tetapi bertanya sama ada Aisyah mahu melihatnya atau tidak. Nabi pun membawa Aisyah melihatnya melalui celah dinding sambil mengendongnya. Aisyah yang bertubuh kecil melihatnya sehingga berasa bosan. Setelah itu, barulah Nabi membawanya turun. Inilah hiburan yang kita jarang pelajari dan membacanya. 

Kita hanya belajar bab bersugi, memakai serban dan makan dengan jari. Ini merupakan antara masalah kita umat akhir zaman yang tidak membaca Hadis dengan menyeluruh. Kita hanya membaca Hadis fadhilat sahaja dan bukan bab politik, ekonomi dan sebagainya. Kita yang tidak memahami agama menjadi penghalang kepada pelaksanaan agama. Masalahnya adalah apabila sebut mengenai dakwah, semua tidak boleh seperti memakai serban dan berjubah. Sebenarnya bukanlah begitu, bergantung pada kita nak memakainya atau tidak asalkan menutup aurat. Orang yang memakainya mengambil sunnah Nabi S.A.W. Kalau kita tidak memakainya, ia tidak menjadi masalah. Kadang-kadang kita menganggap apabila berdakwah, menjadi suatu kemestian untuk memakai kopiah dan jubah. 

Oleh sebab itu, ilmu sangat penting kerana agama adalah luas. Hiburan adalah sebahagian daripada kehidupan manusia cuma mestilah menepati syarak agar memperoleh pahala. Misalnya, orang perempuan dibenarkan menyanyi tetapi biarlah sesama perempuan dan menari pun di hadapan perempuan, suaminya atau adik-beradiknya yang tidak sah nikah. 

Untuk memahami hukum, ada masa perlunya pada mempelajari sejarah. Sejarah yang paling asasnya adalah Sirah Nabi kerana ia mengajar kita mengenai alasan Nabi berbuat sekian sekian. Timbul isu apabila perempuan memasuki pertandingan tilawah Al-Quran. Di Kelantan, telah berjaya dilaksanakan dengan memastikan penonton adalah daripada kalangan wanita sahaja. Lama-kelamaan, akhirnya wanita dibenarkan membaca Al-Quran di hadapan khalayak sehingga ke hari ini. 

Pada zaman dahulu, wanita tidak dibenarkan untuk membacanya kerana ada sebabnya. Semasa Nabi berhijrah ke Madinah, Nabi melarang wanita daripada menziarahi kubur. Selepas itu, barulah wanita dibenarkan. Sebab apabila wanita Arab pergi ke kubur, mereka bukan sahaja merenjis air bunga mawar dan membaca Yasin, tetapi mereka berguling di atas kubur sambil meratap seperti menarik rambut dan mengoyak baju. Setelah orang Arab memeluk Islam dalam tempoh yang lama, mereka memahami Al-Quran, barulah Nabi membenarkannya. 

Inilah kaedah hukum yang perlu kita fahami. Jadi, larangan mengaji Al-Quran pada peringkat awal adalah kerana mereka bertanding untuk memerdukan suara dan memenangi hadiah, bukannya untuk meningkatkan syiar Islam. Sama juga seperti Dikir Barat pada awalnya tidak dibenarkan kerana seni katanya mengarut dan berlatih sehingga ke waktu Subuh serta tidak pula menunaikan solat Subuh tetapi lena. Jadi, ia dibenarkan sekiranya seni katanya diperbetulkan dan tidak ada pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. 

Bala, adakah suatu bencana alam atau hukuman-Nya?

قَالَ لَقَدْ عَلِمْتَ مَآ أَنزَلَ هَٰٓؤُلَآءِ إِلَّا رَبُّ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ بَصَآئِرَ وَإِنِّى لَأَظُنُّكَ يَٰفِرْعَوْنُ مَثْبُورًا

“Nabi Musa menjawab: “Sebenarnya engkau (hai Firaun) telah pun mengetahui: tiadalah yang menurunkan mukjizat-mukjizat ini melainkan Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi, sebagai bukti-bukti yang menerangkan kebenaran; dan sebenarnya aku fikir, engkau hai Firaun, akan binasa”.”

(al-Israk: 102)

Firaun menuduh Nabi Musa sebagai ahli sihir. Sebab pada masa itu, orang mengamalkan ilmu sihir yang hebat. Firaun sendiri mempunyai berbelas-belas tukang sihir yang mengawalnya. Nabi Musa memberitahu bahawa semua itu berlaku dengan izin-Nya. 

Apabila masalah-masalah timbul, kita sebenarnya telah banyak melanggar hukum agama. Bala yang berlaku kita anggap sebagai bencana alam kerana kita tidak melihatnya secara rohani dan terpengaruh dengan pemikiran Barat. Orang Barat menyebutnya sebagai ‘natural disaster’ seperti ribut taufan dan penyakit. Kadang-kadang, kita tidak melihatnya sebagai peringatan dan hukuman daripada Allah S.W.T. 

Misalnya, telah disebut dalam Hadis apabila jual beli dipenuhi dengan unsur penipuan maka kita akan ditimpakan dengan ekonomi yang meleset, harga barangan yang melonjak naik dan juga kezaliman daripada pemerintah ke atas kita. [2]

Orang Islam yang pernah dibunuh di Bosnia adalah berpunca daripada mereka tidak mempedulikan agama. Dahulu solat Jumaat tidak dilaksanakan dan masjid tidak diimarahkan. Hidup mereka ibarat orang kafir seperti makan babi, minum arak dan meraikan perayaan tahunan yang menghidangkan hidangan kepala babi serta tidak menunaikan solat dan berpuasa. Jadi, apabila kita tidak mempedulikan agama, maka Allah akan menghukum kita dengan cara yang kita tidak boleh fikir. Bala yang diturunkan akan melibatkan semua orang sama ada orang baik atau jahat. Jadi, pakatlah kita beringat. 

فَأَرَادَ أَن يَسْتَفِزَّهُم مِّنَ ٱلْأَرْضِ فَأَغْرَقْنَٰهُ وَمَن مَّعَهُۥ جَمِيعًا

“Maka Firaun pun berkira hendak mengusir mereka dari bumi (Mesir) lalu Kami tenggelamkan dia bersama-sama pengikut-pengikutnya seluruhnya.”

(al-Israk: 103)

وَقُلْنَا مِنۢ بَعْدِهِۦ لِبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ ٱسْكُنُوا۟ ٱلْأَرْضَ فَإِذَا جَآءَ وَعْدُ ٱلْءَاخِرَةِ جِئْنَا بِكُمْ لَفِيفًا

“Dan Kami katakan kepada Bani Israil, sesudah Firaun (dibinasakan): “Tinggalah kamu di negeri itu kemudian apabila datang tempoh hari akhirat, Kami datangkan kamu (ke Padang Mahsyar) dengan bercampur-aduk.”

(al-Israk: 104)

Setelah Nabi Musa dan pengikutnya selamat, mereka sudah tidak memasuki Mesir lagi dan tinggal di Bukit Sinai. Di situlah Baginda mendirikan kerajaan walaupun ia tidak secara rasmi. 

Memahami kisah yang tersembunyi di sebalik ayat al-Quran

وَبِٱلْحَقِّ أَنزَلْنَٰهُ وَبِٱلْحَقِّ نَزَلَ وَمَآ أَرْسَلْنَٰكَ إِلَّا مُبَشِّرًا وَنَذِيرًا

“Dan dengan cara yang sungguh layak serta berhikmat Kami turunkan Al-Quran, dan dengan meliputi segala kebenaran ia diturunkan; dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai pembawa berita gembira (bagi orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar).”

(al-Israk: 105)

Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun. Bertujuan supaya maksudnya sampai kepada manusia. Ayat yang sedikit demi sedikit diturunkan supaya manusia dapat memahaminya dengan baik dan beramal dengannya. Tujuan lain adalah supaya ia menjawab segala persoalan yang timbul. Ketika di Makkah, persoalan berkaitan dengan akidah. Di Madinah pula, persoalan berkaitan dengan kehidupan harian seperti ekonomi. 

Misalnya ayat ‘wayas alunaka‘, ia mengandungi kisah di sebaliknya. Ada yang datang bertemu dengan Nabi dan bertanya;

“Apa yang harus dibuat dengan wanita yang didatangi haid?” [3]

Persoalan sedemikian timbul kerana orang Yahudi tidak mendekati isteri mereka yang didatangi haid, tidak duduk bersama, tidur atau bercakap dan tidak membenarkan isterinya memasak dan sesetengahnya tidak makan masakan isterinya kerana isterinya dianggap kotor;

“Wanita yang didatangi haid ini hanya tidak boleh menunaikan solat dan tidak boleh bersetubuh dengan suaminya namun duduk bersama, makan bersama, bergurau bersama walaupun berpeluk dan mengucup adalah dibolehkan.”

Persoalan ini kelihatannya biasa namun jika tidak diperjelaskan oleh Nabi [4], kita pun tidak mengetahuinya. Sama seperti persoalan mengenai peredaran anak bulan, ia adalah untuk mengetahui waktu sama ada waktu solat, puasa dan haji. 

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 28 November 2022 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 2/12/2022

Rujukan: 

[1] Surah Al-Hujurat, ayat ke-13. 

[2] Hadis Riwayat Ibnu Majah dalam Kitab Sunannya, no. Hadis 1142.

[3] Pertanyaan ini ada dijelaskan dalam Surah Al-Baqarah, ayat ke-222.

[4] Dalam hal ini Nabi bersabda: “اصنعوا كل شيء إلا النكاح”. Maksudnya: Buatlah segala perkara kecuali bersetubuh (jima’). Hadis Sahih riwayat Imam Muslim, no. Hadis 453.