PERIKATAN NASIONAL yakin menang di Padang Serai

Foto daripada Facebook Muhammad Sanusi Md Nor.

KULIM: PERIKATAN NASIONAL (PN) melahirkan keyakinan menambah satu lagi kerusi Parlimen di Kedah menerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Padang Serai, 7 Dis ini.

Advertisement

Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata keyakinan itu berdasarkan keputusan PRU15 pada 19 Nov lepas yang menyaksikan PN memenangi 13 daripada 14 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di negeri itu.

“Saya fikir PN akan mendapat laluan mudah untuk menang di Padang Serai dan (Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri) Tioman,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengiringi calon PN bagi Parlimen Padang Serai Datuk Azman Nasrudin ke pusat penamaan calon di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata pihaknya bersedia berbincang dengan kerajaan negeri lain termasuk di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri secara serentak.

Beliau berkata secara prinsipnya dia menyokong idea itu yang dilihat akan memudahkan proses pilihan raya dijalankan termasuk pergerakan pengundi luar untuk pulang mengundi.

“Kalau nak dijadikan pilihan raya serentak kita boleh rundinglah dengan negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Terengganu. Saya rasa perkara ini bukanlah sesuatu yang sulit untuk dipersetujui bersama,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan kepada 7 Dis dan pengundian awal pada 3 Dis berikutan kematian calon PH, M. Karupaiya, 69, pada 16 Nov lepas.

Proses penamaan calon yang selesai 10 pagi tadi menyaksikan enam calon akan bersaing di Padang Serai melibatkan Azman daripada PN, Dr Mohamad Sofee Razak (PH), Datuk C. Sivaraajh (BN), Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas). – BERNAMA