Kerajaan baharu diharap laksana projek dilulus di Kelantan

Datuk Ahmad Yakob

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berharap Kerajaan Persekutuan yang akan dibentuk hendaklah mengekalkan kesinambungan projek sudah dilulus untuk dilaksanakan di negeri ini.

Advertisement

Menteri Besar Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, beberapa projek Kerajaan Persekutuan berjumlah RM3.53 bilion hendaklah diterus dan dikekal kesinambungan projek tersebut.

Antaranya projek Central Spine Road di jajaran Paloh 2 ke Gua Musang, membina lebuh raya dari Kok Lanas ke Bukit Tiu, Lebuh Raya Kota Bharu ke Kuala Krai.

” Kerajaan Persekutuan juga meluluskan peruntukan sebanyak RM276 juta melalui permohonan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) Rolling Plan 2, Tahun 2022 bagi menyediakan kemudahan fasiliti sukan untuk menghadapi Sukma ke-22 pada tahun 2026.

“Peruntukan itu merangkumi pembinaan komponen seperti sebuah Stadium Utama Bukit Merbau, Stadium Hoki, Arena Tertutup Serbaguna, Gelanggang Skuasy, Gelanggang Boling Padang, Lapang Sasar Menembak dan Pusat Akuatik,” katanya di sini hari ini.

Ahmad berkata, projek-projek keutamaan kerajaan negeri itu tersenarai untuk dilaksanakan dalam RMK-12 dapat dijayakan dengan sebaiknya.

Antaranya kata beliau Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok (KESBAN), Pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Selain itu pembinaan Jambatan Palekbang menghubungkan Tumpat–Kota Bharu dan menambahbaik perkhidmatan bekalan air serta projek JENDELA.

“Saya juga berharap hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan dapat diteruskan.

“Ia akan memberi menatijah hubungan dengan prinsip semangat federalisma yang tinggi antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri Kelantan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/11/2022