PAS benteng hadang ‘rempuhan’ DAP ke Perak

- Advertisement -

PESURUHJAYA PAS Negeri Perak, Razman Zakaria berikrar menggerakkan keupayaan PAS yang merupakan sebahagian PERIKATAN NASIONAL (PN) untuk menyekat Pakatan Harapan (PH) daripada berkuasa di negeri itu.

- Advertisement -

Kesungguhan PAS itu bahkan boleh diterjemah dari keberadaan kerusi-kerusi ditandingi PAS pada PRU15 ini bukan sahaja berada sempadan negeri Utara, tetapi mengunjur sepanjang Pantai Barat hingga ke Selatan negeri.

Semuanya kawasan majoriti Melayu-Islam kecuali beberapa kerusi di kawasan campuran. Menunjukkan PAS mahu memimpin kelangsungan agama dan bangsa, serta menyuntik usaha keharmonian sebenar kepada perpaduan kaum.

Paling penting adalah PAS di Perak berperanan besar untuk menyekat kemaraan DAP dan sekutu-sekutunya daripada menang untuk membentuk Koridor Harapan yang akan dicantumkan bersama Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Untuk itu, kerusi-kerusi di Perak Utara adalah benteng pertahanan Melayu-Islam yang mesti dimenangi PAS dan PN serta memenangi juga kerusi di jajaran sepanjang Pantai Barat negeri itu. Manakala dikurangkan margin kemenangan di kerusi dominasi DAP-PH di bandar-bandar dan kawasan campuran.

Sekiranya dapat membuat kejutan mengambil alih kerusi-kerusi mereka itu lebih baik. Walaupun sukar, ianya tidak mustahil dengan pelbagai faktor semasa yang semakin mempengaruhi pola pengundian. 

Di tambah beberapa rekod dan perkembangan mutakhir menunjukkan sokongan positif kepada PN dan beralih arahnya kembali sokongan Melayu berpaling dari PH pasca-PRU14 lagi. Selain sedikit ‘swing’ kaum bukan-Muslim yang menolak radikal PH.

Sekat nafsu besar DAP

Pengerusi DAP Negeri Perak, Nga Kor Ming sendiri menyatakan secara terbuka sasaran yang akan melibatkan empat negeri itu untuk menjadi Koridor Harapan.

“Kita dah menang Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Tetapi kurang satu lagi iaitu Perak. Sekiranya, kita menang Perak pada PRU kali ini, dari utara ke selatan semua negeri menjadi Koridor Harapan. Dan dari situ kita memperluaskan ke Johor dan Pahang,” ujarnya.

Strategi sedang diikhtiarkan DAP bagi PRU15 ini adalah dengan memperalat orang Melayu menjadi calon mereka. Tokoh utamanya adalah Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dibawa bertanding di P.063 Tambun.

Taktik ini menyamai usaha DAP menawan Johor dahulu apabila membawa Veteran DAP, Lim Kit Siang bertanding di P.162 Gelang Patah pada PRU13, sebelum ke ditukar nama sebagai Parlimen Iskandar Puteri pada PRU14 lalu.

DAP-PH sudahpun menguasai sebahagian besar Perak melibatkan kerusi-kerusi di bandar. Terutamanya kawasan dengan kependudukan bercampur yang secara majoriti kaumnya menyamai demografi nasional.

Parlimen P.062 Sungai Siput, P.063 Tambun, P.066 Batu Gajah, P.071 Gopeng, P.070 Kampar, P.072 Tapah, P.076 Teluk Intan dan P.077 Tanjong Malim, mereka memiliki keupayaan agak kuat di situ.

Cengkaman DAP-PH sejak sekian lama di kerusi-kerusi tersebut termasuk peringkat DUN perlu dilihat sebagai wabak ancaman yang boleh merebak ke kawasan lain. Oleh itu sama ada mereka melebarkan kemenangan, atau PAS-PN mesti merampasnya.

Kawasan strategik PAS

Sebab itu keberadaan PAS di P.057 Parit Buntar amat penting dan mesti dimenangkan untuk menyekat rempuhan DAP daripada Pulau Pinang. Ketika sama menghadang kemaraan dari kawasan kudis DAP-PH dari menjalar ke kawasan lain.

Parit Buntar juga insyaAllah akan menerima kekuatan tambahan dari lapisan pertahanan P.058 Bagan Serai. Naib Presiden PAS, Dato’ Ustaz Idris Ahmad yang juga Menteri Agama dilihat berpeluang cerah menang di situ.

Dua Parlimen meliputi sebahagian besar tanah pertanian ini merupakan kawasan agromakanan dan sumber air terpenting, selain galian dan tenaga yang masih belum diteroka. DAP cukup mahukan untuk memenuhi keperluan Pulau Pinang.

Iaitu pelbagai pembangunan mega yang dirancang mereka, termasuk keperluan dari persisiran pantai negeri Perak. Untuk itu kemenangan PAS di situ begitu signifikan untuk membantutkan kerakusan DAP bagi menjarah kepentingan bumi Perak.

Malah, kawasan ini juga merupakan nostalgia penting buat PAS. Di mana sejarah merakamkan Kerusi Kerian dimenangi PAS melalui Tuan Guru Ahmad Tuan Hussin pada PRU pertama Tanah Melayu tahun 1955. Begitu juga wakil PAS bagi peringkat negeri menang di kerusi Kerian Barat.

Di sana juga ada kedudukan bersejarah dan pernah disebut sebagai ‘bahaya dari gunung’ yang tidak kurang pentingnya iaitu N.11 Gunong Semanggol. Lokasi benih asal PAS yakni Hizbul Muslimin itu ditandingi Razman yang juga merupakan penyandang kerusi itu. Namun, Hizbul Muslimin diharamkan oleh British setelah itu.

Pun begitu, kawasan yang dikenali juga dengan sebagai tanah sawah luas serta tanah rancangan FELDA dan FELCRA ini, tertikam oleh isu pengkhianatan. Penguasa Melayu terdahulu bersikap tidak memberikan geran pemilikan tanah kepada orang Melayu, malah menjualnya kepada pemaju kapitalis.

Sedangkan ia dibuka dan dipugar dari tanah hutan belantara dengan keringat empat kerat, air mata, bahkan juga darah para peneroka asalnya. Maka, PAS datang mempertahankan, di mana Razman juga mengeluarkan wang simpanannya membeli tanah di Bagan Serai dan diwakafkan bagi membina kediaman penduduk miskin.

Sumbangan kekuatan

Ketika sama PAS mesti menyumbang kerusi dengan memenangi juga P.055 Lenggong, P.069 Parit dan P.073 Pasir Salak yang merupakan kawasan tradisi Melayu-Islam. Paling penting adalah memenangi kerusi-kerusi DUN ditandingi kerana ia menentukan pegangan kepada pemerintahan negeri.

PAS bertanding di N.01 Pengkalan Hulu; N.02 Temenggor; N. 03 Kenering; N.04 Kota Tampan; N.05 Selama; N.06 Kubu Gajah; N.08 Titi Serong; N.12 Selinsing; N.14 Changkat Jering; N.15 Trong; N.20 Lubuk Merbau; N.35 Manong; N.40 Bota; N.48 Ayer Kuning; N.50 Kampung Gajah dan N.51 Pasir Panjang.

Semua ini dianggap kawasan Melayu-Islam, manakala kawasan campuran PAS cuba memecah pegangan lawan di N.16 Kamunting; N.23 Manjoi; N.31 Jelapang; N.53 Rungkup; N.55 Pasir Bedamar; N.57 Sungkai dan N.59 Slim. Ia termasuk mengenengahkan calon bukan-Muslim dari DHPP.

Keyakinan PAS Perak menjadi benteng Melayu-Islam di Perak diadun melalui PN yakni bersama BERSATU dan GERAKAN, selain cabang bukan-Melayu PAS iaitu Dewan Himpunan Pendukung PAS serta calon Bersekutu. Setakat ini, gabungan ini telah dapat membentuk gelombang perubahan besar dalam siri kempen di seluruh negeri Perak.

IZWAN ABDUL HALIM
[email protected]HARAKAHDAILY 15/11/2022

- Advertisement -