Keputusan PAS sertai PN ada hikmahnya

Tuan Ibrahim muncul di pentas Himpunan Rakyat PN Best Selangor dan Kuala Lumpur di Padang AU2, Taman Keramat, Kuala Lumpur pada 14 Nov 2022. (FOTO: HARAKAHDAILY/MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE)
- Advertisement -

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS telah berusaha keras untuk menyatukan parti-parti politik Melayu-Islam dalam suatu mufakat politik yang lebih besar bagi melawan musuh yang satu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bagaimanapun, langkah itu tidak berjaya disebabkan keegoan pihak tertentu yang hanya menginginkan Muafakat Nasional (MN) disepakati antara parti itu dan PAS.

“Bila mana PAS bersama-sama dengan usaha kami untuk mengadakan muafakat politik yang besar, berada dalam Muafakat Nasional, bersama-sama mengajak agar kita dapat bentuk satu kekuatan bersama.

“Namun apa yang berlaku, mari kita lihat apa yang Allah pandu kepada kita, Allah Taala menegaskan, seandainya ada dua kumpulan umat Islam yang saling bergaduh bertembung satu sama lain, damaikan mereka, kita berusaha mendamaikan dan menyatukan.

“Namun, Allah beri amaran sekiranya ada satu kumpulan bertindak melampau ke atas satu kumpulan yang lain, hendaklah kamu perangi mereka,” katanya ketika berucap pada Himpunan Rakyat PN Best Selangor dan Kuala Lumpur di Padang AU2, Taman Keramat, di sini malam ini.

Yang turut hadir, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden Bersatu, Dr Radzi Jidin dan Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Tidak ketinggalan hadir, Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Selangor, Dato’ Abdul Rashid Asari; serta calon-calon PN Parlimen Titiwangsa, Dr Rosni Adam; Sasha Lyna Abdul Latif (Parlimen Ampang); Nurul Fadzilah Kamaludin (Parlimen Setiawangsa); dan Dr Afif Bahardin (Parlimen Shah Alam).

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata, keputusan PAS untuk bersama di dalam PN adalah lebih baik dan mempunyai hikmah di sebaliknya.

“Mungkin Allah Taala inginkan yang lebih baik daripada apa yang kita rancang, Allah Taala nakkan kebaikan daripada apa yang kita fikir.

“Di sana ada peringatan Allah SWT yang mana terkadang kita menyangka suatu perkara itu baik, boleh jadi sesuatu yang kamu sangka baik, sebenarnya mungkin tak baik bagi kamu, sesuatu yang kamu sangka tak baik, sebenarnya ia mungkin baik bagi kamu, Allah tahu, kamu tidak tahu,” katanya memetik Surah Al-Baqarah ayat 216.

Dalam masa yang sama beliau menegaskan bahawa dalam memilih pemimpin perlu berdasarkan panduan yang telah digariskan oleh Allah SWT dan tidak boleh dipilih mengikut selera masing-masing.

“Kita mesti mengikut panduan dan panduan inilah yang kita mohon pada Allah setiap kali kita solat, ya Allah tunjukkanlah pada kami jalan yang betul.

“Kita nak jalan yang betul, kita taknak jalan yang batil, kita nak pemimpin yang adil, bertaqwa, kita taknak pemimpin rasuah, salah guna kuasa, korup yang merosakkan negara dan masa depan generasi akan datang,” katanya.

Jelasnya, Allah telah menetapkan lima syarat dalam memilih pemimpin bagi memikul amanah dan menerajui negara.

“Hendaklah mereka mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, menyuruh yang maaruf, mencegah yang mungkar dan mengembalikan urusan hidup kepada Allah SWT.

“Tidak mungkin kita boleh menjadikan negara yang kita sayangi ini sebuah negara yang hebat dan maju yang unggul dengan pemimpin yang korup, rasuah dan salah guna kuasa,” ujarnya.

Katanya, negara hanya boleh terbentuk dan diterajui kerajaan yang baik apabila mempunyai pemimpin yang ditahan uji dan pernah mengalami sesuatu keadaan yang mencabar.

“Kita pernah berada di dalam situasi yang sangat kritikal, bilamana Allah SWT menguji kita dengan dua ujian, yang pertama kita diuji dengan Covid-19 dan yang kedua dengan tekanan ekonomi,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru kepada pengundi dapat memilih dengan tepat bagi memastikan masa depan anak muda dan negara diurus serta ditadbir dengan penuh tertib, harmoni, jaga perpaduan dan keselamatan.

“Kita berusaha membina kekuatan masa depan negara, mungkin Allah menginginkan kita bersama dengan pemimpin yang tidak korup, tidak rasuah, tidak salah guna kuasa, lalu kekuatan itu ada pada kita pada hari ini, InshaAllah sebuah negara yang dijanjikan oleh Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/2022

- Advertisement -