Pemuda PN Selangor selar kenyataan biadab Kor Ming

Mohamed Sukri Omar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemuda PERIKATAN NASIONAL (PN) Selangor menyelar kenyataan biadab dan melampau pemimpin DAP, Nga Kor Ming apabila mendakwa negara Malaysia akan menjadi seperti negara Taliban di Afghanistan sekiranya PN membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

- Advertisement -

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, jelas bahawa Kor Ming berkempen dengan hasutan jahat yang memfitnah imej ‘Islam’ serta cubaan menakut-nakutkan rakyat dengan gambaran yang salah khususnya terhadap rakyat yang bukan penganut Islam dan bukan Melayu.

Justeru, ujarnya Pemuda PN Selangor menggesa tindakan tegas diambil terhadap Kor Ming atas kenyataan tersebut kerana ia bersifat hasutan jahat dengan menuduh sesuatu tanpa ada asas yang kukuh.

Menurutnya, Pemuda PN melihat ia sebagai respons balas terdesak mewakili DAP bagi menutupi agenda dan unsur komunis yang jelas terpampang sepanjang PH memerintah selama 22 bulan terdahulu.

“Ini bukan kali pertama Nga Kor Ming menghasut dengan modal yang sama malah jelas sifat kebenciannya terhadap kesatuan umat Islam kalangan Melayu serta cuba menakut-nakutkan kalangan Cina dan India yang tidak bersama dengan mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, lebih teruk lagi apabila mengaitkan imej buruk dengan disandarkan kepada “imej negara Taliban di Afghanistan” kerana takutkan pelaksanaan agenda syariat Islam sedangkan negara Malaysia jelas memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perkara 3 Perlembagaan.

Sehubungan itu, tegasnya Pemuda PN Selangor mendesak dan menuntut Nga Kor Ming membuat permohonan maaf terbuka kepada semua rakyat khususnya penganut Islam atas kenyataannya yang berbaur hasutan jahat dan fitnah ke atas Islam. – HARAKAHDAILY 15/11/2022

- Advertisement -