Momentum besar PERIKATAN NASIONAL dikesan di Pahang, Perlis

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bahagian Pahang Barat yang meliputi Bentong, Raub dan Lipis sebelum ini merupakan kubu kuat Umno dan Barisan Nasional (BN) yang sukar dipecahkan PAS.

- Advertisement -

Bagaimanapun situasi itu berubah sekarang terutamanya anak-anak muda kini berani menyatakan sokongan terbuka kepada PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN).

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penduduk di kawasan tersebut menyatakan mahu memberi sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL bagi mewujudkan kerajaan baharu di Pahang.

“Pimpinan PAS di sana melihat ada keperluan untuk kita bina semangat dalam kalangan rakyat Pahang Barat supaya ada wakil di Dewan Undangan Negeri, jadi mereka minta saya bertanding di DUN Cheka sebelah kampung saya.

“Ketika saya turun baru-baru ini saya lihat ada momentum besar, keseronokan pengundi luar biasa termasuk orang muda.

“Ada satu tempat 100 peratus pengundi muda menyatakan akan sokong kita. Sedangkan dahulu kawasan itu kubu BN, PAS pun tidak boleh masuk, sekarang mereka sudah berubah,” katanya ketika ditemui di sini.

Pada PRU lepas DUN Cheka dimenangi Lee Ah Wong dari BN dengan majoriti 202 undi. Dan pada PRU kali ini BN diwakili Ho Fong Mee dicabar Tuan Ibrahim (PN), Dr Rasid Muhamad (PH) dan Aishaton Abu Bakar (Pejuang).

Tuan Ibrahim juga berkata, gelombang yang dirangka PAS Pusat itu turut disemarakkan lagi dengan perkembangan semasa politik.

Menurutnya juga situasi itu dibantu sebahagian pimpinan Umno yang tidak dicalon semula pada PRU15 termasuk penyandang Parlimen Maran, Dato’ Seri Dr Ismail Abd Mutalib.

Situasi sama turut dialami Dato’ Seri Shahidan Kassim yang tidak dicalonkan semula BN sehingga mereka membuat keputusan bertanding atas tiket PN.

“Saya lihat gelombang itu berlaku di Pahang dan Perlis jadi PAS Pusat memang menjangkakan dua negeri terbabit berdasarkan gerak kerja kita akan berlaku momentum kali ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/11/2022

- Advertisement -