SAO PAULO: Pasukan Mercedes Formula 1 akan kekal meletakkan jenama FTX yang mengalami masalah kewangan yang kritikal pada kereta mereka menjelang Grand Prix Sao Paulo hujung minggu ini di Brazil, namun memantau perkembangan terkini.
FTX, salah satu bursa kripto terbesar di dunia, telah dilanda krisis setelah pelanggan melakukan transaksi pengeluaran besar-besaran yang menyebabkan pasaran kripto FTX menjunam.
FTX juga terpaksa mengambil Langkah drastic untuk mengumpul kira-kira AS$9.4 bilion daripada pelabur dan pesaing, kata sumber pada hari Khamis, lapor Reuters.
Terdahulu, Mercedes telah menandatangani perjanjian penajaan dengan FTX pada September, 2021.
Jurucakap pasukan berkata mereka sedang menilai keadaan semasa dan jenama tersebut akan kekal pada kereta lumba juara dunia tujuh kali Lewis Hamilton dan rakan senegaranya, George Russell buat masa ini.
Perlumbaan hujung minggu di Interlagos adalah pusingan kedua terakhir musim ini, dan akan berakhir di Abu Dhabi pada 20 November 2022. – HARAKAHDAILY 11/11/2022