Pesawat Tanzania terhempas dalam tasik: 19 maut

Pesawat Penerbangan Precision Air yang berlepas dari ibu kota, Dar es Salaam terhempas ke dalam Tasik Victoria, selepas mendarat di tasik berkenaan dalam keadaan cuaca buruk ketika ia menghampiri lapangan terbang di Bukoba, Tanzania. (FOTO: BBC)
- Advertisement -

TASIK VICTORIA, Tanzania: Sembilan belas orang terbunuh selepas sebuah pesawat penumpang terhempas ke dalam sebuah tasik di Tanzania.

- Advertisement -

Perdana Menteri Tanzania, Kassim Majaliwa berkata, angka kematian akibat nahas pesawat Ahad (5 Nov) di Tasik Victoria kini telah meningkat kepada 19 orang.

Penerbangan Precision Air yang berlepas dari ibu kota, Dar es  Salaam mendarat di tasik berkenaan dalam  cuaca buruk ketika ia menghampiri lapangan terbang di Bukoba, lapor npr.org.

“Semua warga Tanzania berkabung terhadap kematian 19 orang mangsa … yang telah kehilangan nyawa mereka,” kata Majaliwa.

Sementara, Pesuruhjaya wilayah Albert Chalamila berkata, 43 orang – termasuk 39 penumpang, dua juruterbang dan dua kru kabin – berada di dalam pesawat itu.

Pihak berkuasa tempatan dan syarikat penerbangan itu sebelum ini berkata bahawa 26 mangsa yang terselamat daripada 43 orang dalam penerbangan PW 494 telah ditarik ke tempat selamat dan dibawa ke hospital di Bukoba, sebuah bandar di tepi tasik berkenaan yang terletak dalam  wilayah Kagera, lapor Al Jazeera pula.

“Tidak jelas sama ada 19 mangsa termasuk penyelamat yang lemas atau sama ada pesawat 48 tempat duduk itu mempunyai lebih ramai penumpang berbanding yang didedahkan sebelum ini,” ulas  seorang pegawai wilayah berkenaan.

“Kami akan  melakukan siasatan lanjut. Ada kemungkinan dua orang tidak berada di atas kapal tetapi meninggal dunia semasa usaha menyelamat,” tegas Chalamila.

Precision Air, syarikat penerbangan milik persendirian terbesar Tanzania dalam kenyataan pula  berkata ia telah menghantar penyelamat ke tempat kejadian.

“Pasukan penyiasat yang terdiri daripada kakitangan teknikal Precision Air dan TAA (Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Tanzania) juga telah berlepas untuk menyertai pasukan penyelamat di darat,” kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan. – HARAKAHDAILY 6/11/2022

- Advertisement -