Hanya PN, BN dan PH di P.055, N.03 dan N.04 Perak

- Advertisement -

LENGGONG: Ketiga-tiga calon PERIKATAN NASIONAL (PN) P.055 Lenggong dan N.03 Kenering serta N.04 Kota Tampan masing-masing akan menentang dua calon, iaitu dari Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Kawasan Lenggong, Ustaz Muhammad Rifa’at Razman yang bertanding kerusi P.055 akan berdepan bekas Menteri Tenaga dan Sumber Asli yang juga penyandang, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

PH pula mempertaruhkan Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) yang juga Pengarah Drama Bersiri, Tok Guru, Datuk Jurey Mohd Rosli untuk kerusi Parlimen berkenaan.

Manakala di DUN Kenering menyaksikan Ketua Ulamak PAS Lenggong, Ustaz Mohamad Husairi Ariffin akan berhadapan muka baru dari BN, Rohaida Mohamad Yaakub dan Mohammad Jami’an Zulkifli dari PH.

Menarik di kerusi N.04 yang disandang Datuk Saarani Mohamad dari BN di mana Menteri Besar Perak ini akan dicabar Naib Yang Dipertua PAS Lenggong, Mohd Jamil Yahya dan Mohd Sabri Abdul Manas mewakili PH.

Ketiga-tiga calon PN telah menghantar serentak borang pencalonan mereka pada proses penamaan calon sebelum diumumkan pengesahan bertanding oleh Pengurus Pilihan Raya, Mohd Amzari Mohd Arzami di Pejabat Daerah dan Tanah Lenggong, di sini.

Terdahulu, lebih 500 termasuk kira-kira 200 pemuda bermotosikal mengiringi tiga calon PN ke pusat penamaan calon yang diarak dengan gema salawat dan laungan takbir dari Padang Bunga Raya, di sini.

Kehadiran para penyokong seawal jam 7.15 dimulai dengan sarapan pagi yang disediakan pimpinan sebelum solat Hajat, munajat dan doa yang dipimpin Timbalan Yang Dipertua PAS Lenggong, Ustaz Mohd Hanafiah Idris. – HARAKAHDAILY 5/11/2022

- Advertisement -