Yakin melepaskan amanah yang telah dilaksanakan

- Advertisement -

BEBERAPA bulan lepas, dalam ucapan saya kepada perwakilan Mesyuarat Agung PAS kawasan Bachok, saya mengambil kesempatan khusus untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada seluruh jentera PAS Bachok yang telah memberikan sokongan dan kerjasama kepada saya sepanjang saya memegang amanah sebagai wakil rakyat kawasan Bachok.

- Advertisement -

Ia adalah amanah yang berat. Dalam gembira, rasa bersalah menghimpit saya. Cuma antara yang menenangkan saya ialah pihak Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPP) sentiasa memberikan pujian kepada cara dan pengurusan pejabat pusat khidmat saya di dalam mengagihkan peruntukan kerajaan yang diamanahkan kepada saya untuk tujuan pembangunan di Bachok. Ia amat melegakan saya.

Bakinya, saya memohon kemaafan di atas salah silap saya sepanjang menjalankan tugas saya kepada rakyat Bachok.

Dalam ucapan itu juga, saya telah menyatakan hasrat untuk tidak lagi meneruskan tugas dan amanah sebagai wakil rakyat bagi kawasan Bachok menjelang PRU15 nanti. Saya fikir hasrat itu difahami baik kerana ramai pula jentera PAS di sana yang terkilan terhadap pernyataan saya itu. Saya faham.

Apabila Parlimen dibubarkan, saya mengambil masa hampir dua minggu untuk diam dan tafakur, memohon jawapan daripada Allah. Ia keputusan yang berat dan mestilah gagah.

Apabila saya sudah tenang dan pasti, saya jumpa dan menyatakan hasrat kepada bonda saya. Syukur, bonda memahami dan akur. Tanpa izinnya, saya tidak akan melangkah lebih. 

Redha Allah dalam redha ibu bapa. Jangan sakiti apa yang menyakitkan Allah dan Rasul-Nya صلى الله عليه وسلم. Tiada erti hidup sedang ibu dah ayah gagal menikmati hidup kita. Nikmat nombor wahid ialah ketaatan dan kebaktian zuriat mereka.

Apabila saya diberi isyarat awal kesediaan parti untuk terus memilih saya sebagai calon pada PRU15 kali ini, saya terus bergegas berjumpa dengan Yang Dipertua PAS Kawasan, YB Dato Hj Hasan Mahmud menyatakan hasrat pasti untuk kali kedua. Nampak macam berat mahu terima, saya ‘paksa’ dia terima.

Kemudian saya mohon berjumpa Dato Pesuruhjaya PAS Kelantan, YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Ahmad bin Yakob. Alhamdulillah beliau amat memahami dan sedia membawa permohonan saya ke PAS Pusat.

Apabila saya sudah memperolehi keyakinan bahawa permintaan saya diterima, terjadilah ‘kejadian’ saya memilih untuk menukar profile picture di page Facebook saya. Ia suka-suka saja tanda berakhirnya tugas saya sebagai wakil rakyat. Gambar asal adalah gambar sambutan Hari Kebangsaan bersama anak-anak muda di Pantai Irama Bachok. 

Saya pilih dan tukar kepada gambar bumi yang diambil dari luar bumi. Kebetulan fenomena ‘James Webb Telescope’ yang merajai sains astronomi dunia masa kini telah turut mengheret saya memperbaharui maklumat saya mengenai ilmu berkaitan alam langit lapis satu yang membumbungi dan menghiasi bumi kita ini.

Tak sangka pula ia tiba-tiba ‘spark’ dan menjadi satu ‘game’ yang dicipta netizen. Garu kepala saya dibuatnya. Kamu ni macam-macamlah haha.

Nak jawab, itu hal dan isu yang terkait adab berjemaah yang perlu saya serahkan kepada parti. Jadi, mohon maaf, saya tidak boleh jawab masa itu.

Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada parti PAS yang telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk memikul amanah sebagai wakil rakyat selama dua penggal di Pasir Mas dan Bachok. Ia memberi saya ilmu dan pengalaman yang amat berguna sekali untuk meneruskan perjalanan saya di hadapan.

Selamat berkempen dan selamat mengundi. Semoga Malaysia terus maju dengan perubahan politik yang lebih baik.

USTAZ NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ – HARAKAHDAILY 4/11/2022

- Advertisement -