Liberal sesuai terus kekal jadi pembangkang

- Advertisement -

“JANGAN la bawa masuk lagi beruk-beruk ke dalam Parlimen kita’, begitulah luahan beberapa pengundi yang berusia bila ditemui ‘asalkan bersidang je menjerit terpekik terlolong dalam dewan, tak malu ke?’ tambah mereka. Ya, jawab kami, ‘kita mahu ajar anak muda beradab tapi kita bawa wakil rakyat yang kurang ajar pula’.

- Advertisement -

Itulah golongan liberal dalam Pakatan Harapan, sama ada nak gelar diri mereka liberal demokrat kepada PKR, Islam liberal PAN atau liberal sosialis dan sekularis DAP sekalipun, namun mereka tatap bersuara ikut kebebasan mereka, meraikan segala pandangan tanpa meletakkan batasan atau sempadan berpegang pada hak bersuara dan kebebasan individu.

Menarik bukan, siapa tak suka dengar malah boleh mudah terpengaruh dengan mereka, inilah cara yang mereka laungkan siang malam mengajak rakyat berfikir hak kebebasan bersuara, kesamarataan, menerima segala bentuk idealisme sehingga mengundang kemasukan pelbagai budaya songsang luar negara  dan mengiktiraf kebebasan mereka semua kerana prinsip mereka adalah liberal.

Sekalipun mereka adalah liberal, kita mengajak mereka jangan ditolak mentah-mentah pandangan ‘konservatif’ kerana mereka memelihara kuat pelbagai institusi seperti agama, kerajaan Parlimen, Raja Berperlembagaan dan norma-norma tradisi yang lain, dengan tujuan menekankan kestabilan sosial dan kesinambungan agama bangsa dan identiti negara yang ada di negara kita ini.

Jelas, semua 5 prinsip Rukun Negara menunjukkan negara ini adalah negara yang berpegang pada nilai konservatif, sebagai contoh Rukun Negara pertama ‘percaya kepada tuhan’ maka golongan ateisme memang kita kena tolak sama sekali, kerana mereka yang tidak percaya Tuhan ini sukar berpegang pada peraturan, semua ikut logik akal sahaja. 

Malaysia perlu terus kekal identiti ketimuran sebagaimana satu lagi Rukun Negara yang disebut ‘kesopanan dan kesusilaan’ di samping memacu kemajuan mengikut lunas yang Perlembagaan. Saya percaya ramai mahukan Malaysia maju tapi kemajuan itu bukan menjadi lesen untuk kita langgar semua batas tata susila, adat kaum dan pegangan agama yang menjadi kekuatan jati diri rakyat Malaysia sendiri.

Jangan sampai kerana hendak bawa pelabur-pelabur liberal masuk ke negara, kita terpaksa buka luas tangan kita menerima segala jenis budaya luar ke dalam negara? Ini bukan acuan ekonomi negara Malaysia yang kita mahu. 

Sebab itu kita lihat, golongan liberal ini tidak mampu menjaga institusi-institusi negara ini dengan baik, 22 bulan mereka mentadbir negara sudah membawa masuk pelbagai budaya atas nama kebebasan suara, walaupun mulut kata tidak iktiraf tetapi mereka membenarkan golongan LGBT, komunis, ateisme dan sebagainya bersuara dan tidak mampu mengengkang mereka dari terus tular mempengaruhi pemikiran anak-anak muda negara kita kerana mereka liberal.

Sebab itu ada antara mereka ini yang mempertahankan tuntutan kes murtad, G25, Sister in Islam, Syiah dan pelbagai mazhab sesat bukan Ahli Sunnah dibawa suara mereka dalam Parlimen menuntut hak kebebasan beragama. Ini semua unsur-unsur yang merosakkan institusi agama kita tanpa sedar Islam akan menjadi lemah satu masa nanti.

Soalan saya adakah orang kuat liberal demokrat yang bernama Anwar Ibrahim yang mahu menjadikan negara ini ke neraca liberal, mampu kawal semua kemasukan budaya songsang dan kesesatan pemikiran luar ini daripada tular di dalam pemikiran rakyat dan anak-anak kita?. Saudara fikir-fikirkanlah, jangan kerana dendam marah kepada Najib Razak marah pada Zahid Hamidi sanggup gadai negara kepada orang yang salah.

Kita bukan tiada pilihan, Sebab itu bahaya apabila kita angkat pemimpin liberal menerajui negara ini yang asasnya nasionalisme, sehingga kita pernah bersetuju Tun M kekal menjadi Perdana Menteri kerana mudarat lebih ringan berbanding Anwar Ibrahim. Biarlah golongan liberal ini terus menjadi pembangkang kerana mereka mampu menjadi pembangkang yang baik, bersuara sana sini tanpa mengubah Perlembagaan Negara sedia ada.

Jadi siapa yang sepatutnya memimpin negara selepas PRU ini, adakah rakyat memilih BN yang lebih konservatif nasionalisme, atau PERIKATAN NASIONAL pendekatan yang lebih Moderate yang tidak menafikan hak bersuara rakyat tetapi mempunyai pendirian hala tuju negara ini harus dibina atas landasan lebih baik. Insya-Allah kupasan saya selepas ini, moga bermanfaat. 

SHEHDI HAZRIK SHAMSUDIN – HARAKAHDAILY 4/11/2022

- Advertisement -