PN ada peluang cerah di parlimen Ketereh

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ketiadaan penyandang Parlimen Ketereh, Tan Sri Anuar Musa dijangka memberi laluan mudah kepada calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Mejar Jeneral (B) Dato’ Khlir Mohd Nor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Ketereh, Dato’ Sr Mohd Azami Mohd Nor berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya sebelum ini kerana ketokohan serta kewibawaan dimiliki Ketua Bahagian Umno Ketereh Tan Sri Annuar Musa.

Namun kata beliau pihaknya tidak memandang mudah terhadap keupayaan calon mewakili BN di Parlimen Ketereh iaitu Ketua Puteri Umno Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin.

Malah katanya, semua jentera parti diminta bekerja lebih keras dengan peluang yang ada sekarang.

“Kekuatan Umno di Ketereh sebahagian besarnya bergantung kepada tubuh badan Tan Sri Annuar, jadi bila dia tidak tercalon, berdasarkan tinjauan umum, kita bakal mempunyai kelebihan untuk memenangi kerusi ini.

“Cuma kita kena buat kerja dengan lebih kuat lagi, kelebihan kita ialah bila berlaku perpecahan dalaman BN, kita rasa ini satu peluang kepada kita untuk menang,” katanya selepas menyampaikan Bantuan Cakna Hawa peringkat Dun Melor di Wisma Tok Wali di sini semalam.

Turut hadiri calon PN Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B) Dato’ Khlir Mohd Nor dan Penyelia Dun Melor Asri Yunus.

Pada majlis itu seramai 70 penerima bantuan kerajaan negeri menerima sumbangan termasuk bantuan kepada pesakit kronik.

Pada majlis itu juga diadakan majlis memperkenalkan calon PN kepada rakyat Dun Melor.

Khlir dari Bersatu merupakan muka baharu yang dipilih untuk mewakili PN dalam Pilihan Raya Umum 19 November ini. – HARAKAHDAILY 4/11/2022

- Advertisement -