Tuan Guru dedah kisah di sebalik desakan, ugutan Umno

Pernah segelintir Umno berpakat bersama PH gulingkan kerajaan pimpinan Mahyuddin

- Advertisement -

ARAU: Umno telah berulang kali mendesak PAS untuk hanya bergabung bersama parti itu dan komponen Barisan Nasional (BN) tanpa melibatkan BERSATU, demikian dedah Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

Menurut beliau, perkara itu berlaku sejak parti-parti terlibat telah bersama membentuk kerajaan menggantikan Pakatan Harapan (PH) hinggalah ke saat setelah pembubaran Parlimen, Umno memanggil dan mengugut PAS.

“PAS mesti berpisah dengan BERSATU, dia panggil saya hari Rabu bagi tempoh hingga hari Jumaat pukul 12 malam. Oh macam nak kata apa ni? Beri tempoh pukul 12 malam. PAS mesti buat keputusan putus dengan BERSATU. Kalau tidak Umno bersendirian. 

“Dia nak arah, mana dia boleh arah. Kita bukan komponen Barisan Nasional (BN). Kita parti yang tersendiri. Oleh kerana langkah awal dalam mengambil alih kerajaan, kita mulakan dengan BERSATU, kemudian baru kita ajak Umno bersama, tak bolehlah kita nak potong di tengah jalan.

“Akhirnya kami buat keputusan mestilah dengan PERIKATAN NASIONAL (PN), dengan BERSATU,” ujar beliau yang terdahulu mengimbas langkah besar bersejarah Penyatuan Ummah digerakkan PAS hingga tertubuh Kerajaan PN.

Cerita Tuan Guru, oleh kerana keadaan sangat buruk semasa negara berada di bawah Kerajaan PH, lalu PAS merancang usaha tersebut untuk mengambil alih kerajaan melalui demokrasi melibatkan Ahli-ahli Parlimen.

Terangnya, PAS menghubungi rakan-rakan yang keluar Umno dan menubuhkan parti BERSATU serta duduk dalam kerajaan di mana berbincang dengan mereka mengajak bergabung dengan Umno, termasuk parti dari Sabah dan Sarawak. 

“Parti PBS, Parti PBB, parti Iban, Kadazan dan parti Star, parti Bumiputera ajak bersama buat satu gabungan. DAP dan yang seangkatan dengannya, biarkan. Akhirnya kami berjaya mengumpulkan jumlah yang cukup untuk menukar kerajaan.

“PAS mencadangkan kepada Agong (supaya) Tan Sri Muhyiddin (Yassin) jadi Perdana Menteri, PAS yang cadang. PAS tak minta jadi Perdana Menteri. PAS cadang Agong terima Tan Sri Muhyiddin jadi Perdana Menteri kerana kita nak tarik BERSATU keluar daripada kerajaan.

“Dan nak tarik Umno bersama duduk di luar kerajaan sekali dengan PAS melalui Perpaduan Ummah,” ujarnya pada Ceramah PRU15 sempena Jelajah Presiden PAS di Utan Kandis, Guar Sanji, di sini semalam.

Kesali beliau, Umno terus mendesak PAS setelah itu walaupun PAS mengingatkan bahawa tindakan demikian boleh menyebabkan kerajaan baharu itu jatuh semula agar tujuan Perpaduan Ummah itu tercapai.

“Dia nak PAS dengan Umno (sahaja). Lepas itu barulah ajak parti-parti lain nak ambil PAS ni jadi komponen. Dulu Barisan Nasional, komponen Muafakat Nasional. Dia dengan parti-parti gabungan, PAS satu parti saja dalam gabungan itu. 

“Ini tak boleh, tak cukup. Kita mahu jumlah yang cukup. Akhirnya dia buat hal. Buat hal. Dapat sokongan berapa orang ahli Umno berpakat dengan PH nak gulingkan kerajaan, tapi tak cukup. Bukan semua orang Umno sokong. Tak cukup. 

“Demi menyelamatkan keadaan, kami minta Tan Sri Muhyiddin letak jawatan, pilih Datuk Ismail Sabri jadi Perdana Menteri untuk nak tarik balik orang Umno yang sokong tukar kerajaan ini, dan berjaya bertahan dua tahun lebih.

“Mereka terus desak supaya PAS dengan Umno, PAS dengan Umno. Perpaduan ni bukan PAS dengan Umno, perpaduan Islam ni, semualah. Bukan PAS dengan Umno saja. Sampai peringkat, saya tak mahu nak dedah banyak-banyaklah. 

“Banyak rahsia-rahsia di sebaliknya, nak selamatkan diri, bukan nak selamatkan negara, nak selamatkan agama, nak selamatkan umat. Nak selamatkan diri masing-masing, ini satu cara yang salah, yang tak betul,” ujarnya kesal.

Tambah Tuan Guru, sepertimana berlakunya rasuah dan salah guna kuasa di dalam PH, di dalam BN juga masih ada baki yang terima rasuah walaupun penyumbang rasuah sudah lari pergi ke PH. 

Sebab itu katanya, BN agak keruh dan perlu dibiarkan jernih dulu selepas daripada ini dan kerana itulah PAS buat keputusan bersama dengan PN dan tidak wujud keadaan atau janji-janji projek seperti dahulu. 

“Dulu kalau pilihan raya nak buat projek itu projek-projek itu projek ini. Ini satu lagi projek Barisan Nasional. Ini satu lagi. Projek-projek ini kerja kerajaan. Siapa yang jadi kerajaan dia mesti buat pembangunan. Cuma pembangunan itu jangan bocor, ini. 

“Tuan-tuan jangan fikir di Kelantan, di Terengganu, PAS memerintah tak ada jalan raya. Orang Kelantan, Terengganu merangkak dalam reba. Jalan raya tak ada? Tak boleh buat pembangunan? Jangan fikir macam itu.

“Siapa jadi kerajaan dia buat pembangunan, macam kita kahwin, pinang anak orang. Saya nak pinang anak pak cik ni kahwin dengan saya, jangan bimbang saya bagi nafkah, saya bagi duit.

“Kalau anak pak cik boleh jadi isteri saya. Tak payah bagi tahulah mestilah bagi nafkah, bagi belanja anak isteri. Siapa jadi kerajaan, dia mesti mengurus rakyat tetapi jangan bocor. Duit-duit itu jangan bocor. Apa yang berlaku, bocor selama ini,” bidasnya. – HARAKAHDAILY 1/11/2022

- Advertisement -