Politik tiada dalam al-Quran dan al-Sunnah?

- Advertisement -

SYEIKH Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Min Fiqh al-Dawlah fi al-Islam pernah menekankan bahawa penjajah (beliau memaksudkan Barat) sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk mewujudkan tanggapan bahawa hubungan Islam dengan politik atau negara tidak pernah wujud. Saya tidak berhajat untuk menghuraikan dengan panjang lebar perbezaan antara pandangan dalam Islam dan Barat mengenai politik. Sudah tentu jauh bezanya. 

- Advertisement -

Para pembaca boleh merujuk buku Ahmet Davutoglu – mantan Perdana Menteri Turkiye yang juga bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia – yang bertajuk Alternative Paradigms: The Impact of Islamic and Western Weltanschauungs on Political Theory dan Tarikh al-Khulafa’ al-Rashidin: al-Futuhat wa al-Injazat al-Siyasiyyah oleh sejarawan terkenal Arab, Dr. Muhammad Suhail Taqoush.

Kembali kepada isu di atas. Ya, kalimah politik (al-siyasah) tidak terdapat dalam al-Quran. Maka, sebahagian pihak menyimpulkan Islam tidak ada kaitan dengan politik. Adapun dalam hadis, cuma ada satu kalimah yang berasal daripada kata akar al-siyasah. Rasulullah S.A.W bersabda:

كَانَتْ ‌بَنُو ‌إِسْرَائِيلَ ‌تَسُوسُهُمُ الْأَنْبِيَاءُ كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِي وَسَيَكُونُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُونَ قَالُوا فَمَا تَأْمُرُنَا قَالَ فُوا بِبَيْعَةِ الْأَوَّلِ فَالْأَوَّلِ أَعْطُوهُمْ حَقَّهُمْ فَإِنَّ اللهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ

“Dahulu Bani Isra’il dipimpin oleh para Nabi. Setiap kali seorang Nabi meninggal, ia akan digantikan oleh Nabi [lain]. Namun sungguh tidak ada Nabi lagi sesudahku, dan sepeninggalanku akan ada para khalifah yang semakin ramai.” [Para Sahabat] bertanya, “Wahai Rasulullah, lalu apa yang engkau perintahkan untuk kami?” Beliau menjawab, “Tunaikanlah baiat kepada [khalifah] yang pertama kemudian kepada yang berikutnya, lalu penuhilah hak mereka, dan mintalah kepada Allah apa yang menjadi hak kalian, kerana sesungguhnya Allah akan mempersoalkan mereka mengenai apa yang mereka pimpin.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Cuma, mereka yang cakna akan mendapati bahawa asas pemikiran politik itu disebutkan oleh Allah S.W.T dalam banyak ayat-ayat al-Quran. Tanpa perlu bersusah payah, kita akan berjumpa deretan ayat-ayat al-Quran yang membahaskan perihal kerajaan yang adil dan kerajaan yang zalim, sistem demokrasi dan sebagainya. Ada ketikanya Allah S.W.T menggunakan istilah al-tamkin, al-istikhlaf, dan al-hukm. Fokusnya cuma dua; sama ada memuji atau mencela. Itulah asas-asas politik dalam Islam. 

Justeru, dari mana mulanya kalimah al-siyasah dipopularkan dalam Islam?

Boleh jadi pernyataan pertama dalam sejarah Islam yang menggunakan kalimah al-siyasah dalam bentuk kata dasar (masdar) dengan erti kata perkara terkait kekuasaan (al-muta’alliq bi al-hukm) adalah kata-kata ‘Amru bin al-‘As ketika mengangkat kredibiliti Mu’awiyyah di depan Abu Musa al-‘Asy’ari. Katanya: 

إِنِّي وَجَدْتُهُ وَلِيَّ الْخَلِيفَةِ الْمَظْلُومِ، وَالطَّالِبَ بِدَمِهِ، الْحَسَنَ السِّيَاسَةِ، الْحَسَنَ التَّدْبِيرِ

“Sesungguhnya aku mendapati beliau layak menggantikan khalifah yang dizalimi. Beliau juga dapat menuntut darahnya, politik yang baik, tadbir urus yang baik.” 

(Tarikh al-Rusul wa al-Muluk, 5/68)

Adapun dalam bentuk kata kerja yang lampau (fi’il al-mudari’), terdapat ungkapan Saidina Umar dalam al-Mustadrak susunan al-Hakim. Manakala ungkapan Saidina ‘Ali dalam bentuk yang sama, boleh ditemui dalam al-Musannaf oleh Ibn Abi Syaibah.

Dalam syariat Islam, perbahasan politik dibincangkan di bawah ilmu fiqh dan bukan di bawah perbahasan aqidah. Kerana itulah kita dapati banyak ijtihad-ijtihad baharu oleh para pemimpin politik Muslim sepanjang zaman disebabkan sifat fiqh itu yang fleksibel. Ia mula dibahaskan sebahagian kecilnya dalam bab ‘aqidah apabila para ulamak Ahli Sunnah wal Jama’ah melihat mazhab Syiah mula mengangkat isu imamah, sebagaimana asalnya mazhab Syiah bermula dengan pertelingkahan politik dan akhirnya menjadi pertelingkahan akidah.

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi menghuraikan dalam kitabnya al-Siyasah al-Sha’iyyah di Daw’ Nusus al-Shar’iyyah, ada dalam kalangan umat Islam melupai urusan pelaksanaan syariat itu ada kaitannya dengan akidah Islam. 

Justeru, walaupun ia dimasukkan dalam perkara ijtihad dan furu’ (cabang) di sisi ulamak Ahli Sunnah wa al-Jamaah, namun ia tidak boleh dipisahkan daripada akidah Islam. Ini kerana, pelaksanaan hukum syariat itu adalah amalan yang lahir menjadi bukti daripada iman kepada taklifan wajib melaksanakan hukum daripada al-Quran dan menjadikan Rasulullah S.A.W sebagai contoh teladan yang mesti diikuti.

YB SENATOR DATUK DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI – HARAKAHDAILY 25/10/2022

- Advertisement -