Pengajaran dari krisis politik UK

- Advertisement -

AKHIRNYA Perdana Menteri UK Liz Truss meletakkan jawatan setelah menerima tekanan dari dalam dan luar parti. Dia memecahkan rekod sebelum ini dengan menjadi Perdana Menteri tersingkat negara tersebut. Sebelum ini rekod dipegang oleh George Canning yang menjadi Perdana Menteri selama 119 hari dalam tahun 1827. Tetapi tempoh Truss tidak sampai separuh tempoh Canning iaitu dengan 44 hari.

- Advertisement -

Banyak pengajaran dapat diperolehi dari krisis politik di UK itu. Berikut adalah di antaranya,

1. Perdana Menteri mengakui kegagalan dan meletakkan jawatan.

4 Perdana Menteri telah mengakui kegagalan mereka dan telah meletakkan jawatan.

David Cameron meletakkan jawatan dalam tahun 2016 setelah pengundi-pengundi UK memilih untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) di dalam satu referendum. Pada manifesto Pilihan Raya Umum 2015, Konservatif telah berjanji untuk mengadakan referendum tersebut. Cameron telah menyokong agar UK terus kekal di dalam EU tetapi pengundi-pengundi telah memilih untuk meninggalkannya atau Brexit. Justeru Cameron telah meletakkan jawatan kerana gagal mempengaruhi pengundi-pengundi.

Theresa May telah meletakkan jawatan dalam tahun 2019 kerana gagal memuktamadkan kaedah UK meninggalkan EU. Beliau telah beberapa kali kalah undian di Parlimen dan peletakan jawatan beliau adalah agar Parlimen menyokong perjanjian Brexit.

Boris Johnson pula meletakkan jawatan dalam tahun 2022 apabila satu demi satu Menteri Kabinet beliau meletakkan jawatan. Ia berikutan beberapa skandal termasuk melantik seorang individu yang beliau mengetahui mempunyai masalah moral. Majoriti rakyat melihat Johnson sebagai seorang ahli politik yang tidak jujur dan tidak berintegriti.

Liz Truss yang dilantik pada bulan September 2022 telah meletakkan jawatan pada 20 Oktober 2022. Truss mengundurkan diri kerana gagal menguruskan ekonomi. Menteri Kewangan beliau telah membentangkan ‘mini budget‘ yang mengurangkan cukai ke atas mereka berpendapatan tinggi tanpa menerangkan bagaimana kehilangan pendapatan negara ini akan ditampung. Pasaran tidak menerima dengan baik tindakan tersebut dan di antara kesannya adalah matawang nilai pound telah merudum ke tahap paling rendah dalam sejarah.

Empat Perdana Menteri tersebut telah meletakkan jawatan kerana tidak mementingkan diri sendiri. Mereka tahu mereka telah menjadi bebanan (liability) kepada parti mereka justeru telah dengan sukarela mengundurkan diri.

Tetapi adakah perkara yang sama boleh berlaku di Malaysia? Adakah seorang pemimpin yang telah menjadi bebanan kepada parti mereka kerana gagal menjalankan tugas atau telah diseret ke mahkamah akan meletakkan jawatan untuk menyelamatkan parti mereka? Atau mereka akan menafikan realiti dan terus kekal memegang kuasa sambil memberi seribu satu alasan? Yang jelas keadaan seperti ini tidak akan berlaku di dalam politik UK. Pemimpin-pemimpin politik mereka adalah lebih bermaruah.

2. Menteri-menteri tidak berdiam diri tetapi akan meletakkan jawatan jika tidak bersetuju.

Di antara peristiwa yang mempercepatkan peletakan jawatan Boris Johnson sebagai Perdana Menteri adalah peletakan jawatan beramai-ramai Menteri Kabinet. Pada 5 Julai tahun ini, Menteri Kewangan Rishi Sunak dan Menteri Kesihatan Sajid Javid telah meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan Johnson.  Malah di antara 5 dan 8 Julai, lebih 50 Menteri dan pelantikan-pelantikan politik seperti Setiausaha Parlimen telah meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan Perdana Menteri.

Di bawah Liz Truss, Menteri Dalam Negeri Suella Braverman telah meletakkan jawatan sehari sebelum Truss meletakkan jawatan. Walaupun Menteri itu telah meletakkan jawatan kerana melanggar peraturan bagi seorang Menteri apabila menggunakan emel peribadi untuk menghantar dokumen rasmi kerajaan kepada seorang Ahli Parlimen namun surat peletakan beliau menunjukkan betapa berpecahnya pentadbiran Truss. Dalam surat tersebut, Braverman menyatakan, “Berpura-pura kita tidak melakukan kesilapan, meneruskan seolah-olah semua orang tidak dapat melihat bahawa kita telah melakukannya“.

Kata-kata yang bukan sahaja benar bagi pentadbiran Truss bagi mana-mana organisasi politik atau pemimpin politik yang enggan berhadapan dengan realiti semasa.

Kemungkinan besar jika Truss terus menjadi Perdana Menteri, lebih ramai yang akan meletakkan jawatan seperti nasib yang dialami oleh Johnson.

3. Ahli-ahli Parlimen tidak takut untuk menyuarakan pandangan.

Ahli-ahli Parlimen Konservatif begitu lantang mengkritik Liz Truss secara terbuka. Mereka bukan sahaja mengkritik Perdana Menteri tetapi mereka turut menuntut secara terbuka Truss meletakkan jawatan.

Mereka tidak takut akan disingkirkan dari parti atau dinafikan bertanding pada pilihan raya akan datang. Pada mereka kepentingan negara, kepentingan rakyat adalah lebih utama dari kepentingan mana-mana individu atau parti mereka.

Adakah perkara yang sama boleh berlaku di Malaysia? Adakah Ahli-ahli Parlimen akan berani mengkritik Perdana Menteri dari parti mereka jika tidak bersetuju dengannya? Atau adakah mereka akan berani mengkritik ketua parti mereka? Berdasarkan amalan di Malaysia, sudah tentu Ahli-ahli Parlimen tersebut tidak akan menerima surat watikah untuk bertanding pilihan raya jika berani bersuara. Di Malaysia kata-kata Braverman di dalam surat peletakan jawatannya adalah amat tepat sekali, “Berpura-pura kita tidak melakukan kesilapan“.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD – HARAKAHDAILY 25/10/2022

- Advertisement -