Rakyat Kelantan sabar, istiqamah meskipun dizalimi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sangat menghargai sumbangan dan pengorbanan yang dizahirkan oleh semua rakyat Kelantan.

- Advertisement -

Menurutnya, mereka tetap sabar dan istiqamah dengan kepimpinan Islam meskipun ditekan dan dizalimi sejak sekian lama oleh kerajaan pusat yang terdahulu.

Beliau menyatakan demikian di Facebooknya, hari ini susulan Himpunan Penyatuan Ummah: Sambutan 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam’ di Kota Bharu, malam tadi.

“Alhamdulillah, malam tadi, saya dan YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), bersama beberapa orang pimpinan PN dan Kerajaan Negeri Kelantan diizinkan oleh Allah untuk menyertai ‘Himpunan Penyatuan Ummah: Sambutan 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam’ di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan.

“Subhanallah, ribuan rakyat Kelantan daripada pelbagai latar belakang dan lapisan masyarakat hadir dan setia membanjiri himpunan walaupun disirami hujan renyai,” ujarnya.

Tambahnya, terpancar sokongan dan dukungan mereka yang tidak berbelah bahagi kepada pentadbiran cemerlang Kerajaan Negeri Kelantan yang diterajui oleh PAS selama lebih tiga dekad.

“Mudah-mudahan, barisan kepemimpinan Kerajaan Negeri Kelantan dan rakyatnya senantiasa diberkati dan dirahmati Allah dalam setiap urusan pemerintahan dan kemasyarakatan, seterusnya mengukuhkan mesej penyatuan ummah demi kesejahteraan warga Malaysia sejagat,” katanya lagi.

Pada majlis malam tadi, Tuan Guru Abdul Hadi dianugerahkan Tokoh Penyatuan Ummah Negeri Kelantan.

Turut berucap pada himpunan itu ialah Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddn Mohd Yassin, Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yaakob dan Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah. – HARAKAHDAILY 22/10/2022

- Advertisement -