32 tahun Kelantan: Imbangi pembangunan fizikal, rohani

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH saya merasa amat berbesar hati kerana dijemput ke Himpunan Penyatuan Ummah yang diadakan sempena sambutan 32 tahun pentadbiran Membangun Bersama Islam di Kota Bharu, malam tadi.

- Advertisement -

Saya merasa terharu melihat begitu ramai yang hadir pada acara ini walaupun berlangsung dalam keadaan hujan lebat sejak majlis bermula.

Terima kasih kerana sanggup bersama dan tidak berganjak dari awal hingga berakhir majlis.

Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri PAS kerana dapat bertahan begitu lama dan tempoh 32 tahun bukanlah jangka masa yang pendek.

Bagi saya sudah tentu ada sesuatu yang istimewa sehingga kerajaan negeri dapat kekal sedemikian dan ini merupakan satu rekod yang boleh dicontohi terutama dalam aspek mengimbangi pembangunan fizikal dan rohani.

Saya tegaskan dalam soal membangunkan sesebuah negeri, tidak memadai jika tidak didukung oleh Kerajaan Pusat yang sealiran dan sehaluan dengan kerajaan negeri.

Inilah yang kita lakukan ketika Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan sedikit masa dahulu dan akan diteruskan apabila PN kembali menerajui negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-15, 19 November depan.

Seperti yang pernah saya sebut sebelum ini, sekali lagi saya tegaskan fokus utama kerajaan PN jika diberi mandat ialah menguruskan masalah kehidupan rakyat jelata dan bukan memikirkan cara membebaskan diri daripada kes-kes mahkamah.

Kita mahu melihat kebajikan rakyat yang ketika ini tertekan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu dan dijangka bertambah buruk tahun depan.

Perkara ini perlu dibuat secepat mungkin kerana jika tidak ditangani boleh menimbulkan lebih banyak masalah berikutan  krisis ekonomi yang dijangka lebih teruk berbanding tahun ini.

Perikatan Nasional mahu membantu menyelamatkan rakyat yang sekarang ini tertekan dengan masalah pendapatan merosot, hilang pekerjaan, isu kenaikan harga barang, kejatuhan nilai ringgit yang semuanya bukan petanda baik.

Kami juga akan berusaha mewujudkan seberapa banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak muda dengan cara membawa masuk lebih banyak pelaburan ke negara ini.

Selain itu Kerajaan PN juga berjanji akan menunaikan hak-hak kerajaan negeri seperti royalti minyak tanpa dipersoalkan lagi.

Sehubungan itu saya menyeru seluruh rakyat agar berusaha keluar mengundi Perikatan Nasional dalam apa keadaan sekalipun.

Saya berdoa semoga Allah SWT memberkati usaha kita ini dan memberi kejayaan kepada kita dalam pilihan raya nanti, insya-Allah.

MUHYIDDIN YASSIN – HARAKAHDAILY 22/10/2022

- Advertisement -