Signal jelas kepentingan keselamatan negara

Penculikan warga Palestin didalangi ejem Mossad

- Advertisement -

TAHNIAH dan syabas diucapkan kepada Polis DiRaja Malaysia atas tindakan tangkas menyelamatkan warga Palestin dalam kes penculikan.

- Advertisement -

Kes ini merupakan kes yang amat penting membabitkan isu keselamatan negara sepertimana kes-kes berprofil tinggi lain.

Fakta PDRM menunjukkan penculikan ini melibatkan usaha mendapatkan maklumat perisian yang dapat menggodam telefon bimbit. Fakta kes ini pun sudah menunjukkan bahawasanya niat penculikan bukanlah atas sebab picisan atau sekadar jenayah penculikan biasa.

Kita memahami hakikat bahawa masih awal untuk kita mengatakan keterlibatan unit intelijen negara luar seperti Mossad dalam kes ini, perkara ini disahkan sendiri oleh PDRM berdasarkan siasatan semasa.

Namun begitu, ini bukan kali pertama kes jenayah berprofil tinggi melibatkan warga asing dalam negara kita. Antaranya:

i. Kes pembunuhan individu berprofil tinggi dari Korea Utara, Kim Jong Nam yang dilaporkan mati selepas kepalanya diserkup dengan kain mengandungi cecair di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 2017.

ii. Setahun kemudian kita dikejutkan pula dengan kes pembunuhan Dr Fadi Al Batsh pada 2018 yang merupakan individu berprofil tinggi daripada Palestin yang merupakan seorang teknokrat kejuruteraan elektrik dalam penghasilan roket dan juga pensyarah di UniKL. Arwah sering terlibat dalam aktiviti NGO di Malaysia menanam kesedaran mengenai isu-isu Palestin dan konflik Asia Barat.

Pembunuhan beliau telah dikaitkan dengan kegiatan Mossad sepertimana diyakini oleh ahli keluarga beliau di Palestin dan gerakan Jihad Islam Palestin.

Hakikatnya negara tidak pernah sunyi dengan ancaman keselamatan daripada dalam dan luar negara. 

Kes-kes pencerobohan perairan negara oleh kapal-kapal negara luar yang tidak dapat kita tangani dengan baik ekoran kekurangan aset juga satu lagi indikator bahawa isu keselamatan negara perlu diberikan penekanan tinggi oleh pihak berwajib.

Menurut portal Defence Security Asia, Panglima Tentera Laut TLDM sendiri mengakui bahawa kira-kira 61 peratus daripada aset-aset yang dioperasikan oleh TLDM pada ketika ini boleh dikategorikan sebagai ‘usang’.

Manakala menurut Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Datuk Mohd Zubil Mat Som pada 2020 terdapat beratus bot nelayan Vietnam berlegar-legar di sempadan perairan negara setiap hari, yang menunggu masa sahaja untuk menceroboh perairan negara.

Ini adalah petanda aspek, keselamatan negara berada dalam tahap kritikal. Jika bukan pihak kerajaan yang meletakkan aspek keselamatan negara pada tahap tertinggi, siapa lagi yang boleh diharapkan?

Kita juga tidak mahu kes-kes sebelum ini apabila ahli politik daripada parti kerajaan sendiri yang terlibat dengan kes berprofil tinggi membabitkan kes terorisme berulang kembali. 

Contohnya, kes 7 individu yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas LTTE yang turut membabitkan ahli politik daripada parti DAP iaitu seorang ADUN Melaka dan seorang ADUN Negeri Sembilan. Selain itu seorang  Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Melaka serta CEO perbadanan anak syarikat Negeri Melaka daripada DAP turut ditahan.

Mereka ditahan menurut Akta Kesalahan Keselamatan(Langkah-langkah Khas) (SOSMA) kerana didakwa mempromosikan, menyokong, dan memiliki bahan serta mengagihkan dana yang mempunyai kaitan dengan LTTE.

Jika pihak yang menjadi kerajaan pun boleh terlibat dengan aktiviti mengancam keselamatan negara bagaimana pula dengan individu lain?

Oleh sebab itu, kita perlu mempunyai kefahaman yang jelas dan tegas bahawasanya aspek keselamatan negara adalah aspek yang tidak boleh dikompromi! 

Selama puluhan tahun, pihak ATM, TLDM dan TUDM masih menggunakan aset usang. Kemudian pasca PRU-14, rakyat dihidangkan pula dengan kerajaan yang didirikan oleh individu yang menyokong kegiatan keganasan. 

Apakah senario ini wajar dibiarkan begitu sahaja buat Malaysia yang tercinta?

Maka tiba masanya rakyat memilih  gabungan yang boleh memulihkan aspek keselamatan negara!

PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 21/10/2022

- Advertisement -