Hanya ada satu kompleks sukan di Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kekurangan kemudahan tempat latihan antara faktor Kelantan kurang menyerlah pungutan pingat pada Sukan Malaysia (SUKMA) yang diadakan sebelum ini.

- Advertisement -

Sehingga sekarang Kelantan hanya memiliki Stadium Sultan Muhammad IV dan Kompleks Sukan di Panji sebagai tempat latihan bagi melahirkan lebih ramai atlet berkeliber.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata,
stadium yang ada sekarang dibina pada era awal pentadbiran PAS di Kelantan pada 1960-an.

Katanya stadium tersebut tidak mempunyai trek yang sesuai bagi melahirkan lebih ramai jaguh-jaguh olahraga yang mampu mengharumkan nama Kelantan di peringkat kebangsaan.

“Sepatutnya setiap jajahan di Kelantan ada kompleks sukan sebagai tempat atlet berlatih. Namun sehingga sekarang kita hanya ada sebuah di Panji. Sedangkan di negeri ada di setiap daerah.

“Biarpun dalam keadaan serba kekurangan namun atlet Kelantan masih mampu memberi cabaran sehingga melahirkan figure yang bertarung di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya di sini.

Kata beliau juga terdapat kemudahan trek olahraga dan kolam renang di Kompleks Sekolah Wakaf Zainah sebagai tempat untuk pelajar berlatih.

Bagaimanapun Wan Roslan berkata, Kerajaan Pusat baru-baru ini melulus Kompleks Sukan Komuniti di Jeli yang melibatkan kos lebih RM25 juta.

Menurutnya kompeks tersebut akan dibangunkan di tapak pejabat projek Hidro Elektrik Pergau di Pekan Jeli.

SUKMA edisi ke-20 (2022) yang di Kuala Lumpur baru-baru ini disertai 14 negeri termasuk Brunei Darussalam selaku negara jemputan.

SUKMA menawarkan acara termasuk sukan olahraga, akuatik, kanu, berbasikal, menembak, pencak silat, wushu, gimnastik, tinju, bola sepak dan kriket. Manakala e-sukan pula menawarkan lima emas.

Pada kejohanan itu Kelantan hanya memungut 3 pingat emas, 8 perak dan 10 gangsa.

- Advertisement -