Petani New Zealand bantah ‘cukai sendawa’ ternakan

- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

WELLINGTON: Petani di New Zealand berkumpul di bandar dan pekan seluruh negara untuk membantah rancangan kerajaan menjadi negara pertama di dunia yang mengenakan cukai pelepasan daripada ternakan ladang.

- Advertisement -

Barisan traktor dan kenderaan ladang menghalang lalu lintas di Wellington, Auckland, Christchurch dan bandar-bandar lain dengan petani yang membantah menuntut kerajaan negara itu tidak melaksanakan cukai “sendawa dan kentut”.

Perdana Menteri, Jacinda Ardern menyatakan hasrat kerajaan minggu lalu, untuk mengenakan levi pertama di dunia ke atas gas pertanian dan metana biogenik, yang kebanyakannya berasal daripada sendawa yang dihasilkan oleh kira-kira enam juta lembu dan 26 juta biri-biri New Zealand.

Ardern berhujah bahawa cukai itu diperlukan untuk memperlahankan pemanasan global dan boleh memberi manfaat kepada petani jika mereka boleh mendapat harga yang lebih tinggi untuk daging yang lebih mesra iklim.

Bagaimanapun, petani New Zealand marah dengan rancangan itu menyebabkan beribu-ribu pekerja sektor pertanian menyertai protes yang dipanggil “kami tidak akan menerimanya”.

Pengasas bersama Groundswell New Zealand, Bryce McKenzie, yang menganjurkan protes itu berkata, cukai itu mengancam daya maju petani tempatan.

“Komitmen ideologi kerajaan untuk menghukum dan cukai pelepasan yang tidak produktif ke atas pengeluaran makanan adalah ancaman kepada masyarakat luar bandar,” kata McKenzie.

Walaupun kerajaan berharap cukai itu akan mengurangkan pelepasan ternakan sebanyak 20 peratus, McKenzie berhujah bahawa sebarang “pengurangan akan digantikan oleh petani asing yang kurang cekap”.

Metana tidak bertahan lama di atmosfera seperti karbon dioksida, tetapi adalah agen pemanasan yang lebih kuat. Saintis percaya metana bertanggungjawab terhadap kira-kira 30 peratus daripada kenaikan suhu global walaupun merupakan sebahagian kecil daripada campuran gas rumah hijau.

Petani tempatan, Mark Chandler memberitahu Radio New Zealand (RNZ) bahawa levi pelepasan ternakan yang dicadangkan adalah menghukum.

“Terdapat banyak perkara akan datang yang hanya menjadikan hidup mustahil,” katanya.

“Bagi petani kecil dan sederhana, anda perlu melakukan beberapa minggu untuk urusan pentadbiran dan pematuhan. Ia tidak berjaya dan kami tidak menyertai permainan ini,” katanya.

Pada masa sama, perhimpunan menyokong pelaksanaan cukai itu diadakan di Wellington oleh penduduk tempatan yang mahukan sektor pertanian melakukan sesuatu untuk menangani perubahan iklim.

Valerie Morse memberitahu RNZ bahawa orang ramai bosan memberi subsidi kepada kaedah pertanian yang merosakkan dan mencemarkan serta mahu petani menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada perubahan iklim dengan menggunakan kaedah pengeluaran yang mampan.

Pencinta alam sekitar juga berkata bahawa petani perlu menyesuaikan diri.

“Sektor luar bandar dan pertanian negara ini dilanda banjir, ribut kuat dan kemarau pada tahun ini,” kata Emily Bailey dari Keadilan Iklim Taranaki.

“Ia semakin teruk,” katanya.

“Petani boleh sama ada menyesuaikan diri dan menurunkan pelepasan dengan cepat atau mereka dan orang lain, akan lebih menderita,” katanya.

- Advertisement -