Rawatan biopsikososialspiritual Islam tangani kesihatan mental

Noor Hisham dan Hakimah pada Simposium Kesihatan Mental Dalam Perspektif Islam di Cyberjaya pada 19 Okt 2022.
- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

- Advertisement -

CYBERJAYA: “Kesihatan tidak selalu datang dari perubatan, ia sering kali datang dari ketenangan fikiran, ketenangan dalam hati dan ketenangan dalam jiwa.”

Itu kata-kata cukup bermakna yang dilontarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah ketika merasmikan Simposium Kesihatan Mental Dalam Perspektif Islam.

“Sesungguhnya hati dan jiwa yang tenang akan hadir apabila kembali kepada Tuhan dengan hati yang redha,” tambahnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dalam ucapannya mengaitkan kaitan antara kesihatan dengan ketenangan fikiran, hati dan jiwa.

Simposium anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mental Health Foundation (MHF) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Dewan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, di sini, hari ini.

Seramai 250 orang peserta dari pelbagai agensi termasuk Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Hospital, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), penghuni rumah ar-riqab (MAIS) dan para kaunselor syarie serta terapis psikospiritual yang terlibat secara langsung dalam mengendalikan kes kesihatan mental.

Simposium Kesihatan Mental Dalam Perspektif Islam 2022 menampilkan biopsikososialspiritual Islam sebagai kaedah dalam merawat masalah kesihatan mental dalam kalangan individu di Malaysia.

Sementara Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dalam ucaputama beliau yang berjudul Kesihatan Mental Dalam Perspektif Islam, berkata Islam memandang kesihatan mental adalah satu keperluan asas yang patut dijaga dan dipelihara kerana ia melibatkan kesihatan jiwa.

“Prinsip Maqasid Syariah menetapkan penjagaan kesihatan mental adalah sebahagian daripada aplikasi pemeliharaan maslahah dalam konteks menjaga akal dan diri individu menjurus kepada pemeliharaan nyawa (Hifz an-Nafs),” jelasnya.

Hakimah ketika menyampaikan ucaputama yang berjudul, Kesihatan Mental Dalam Perspektif Islam.

Dalam pada itu, matlamat penganjuran simposium pada kali ini telah dicapai dengan menghasilkan lima resolusi berdasarkan input yang dibincangkan termasuk dua pembentangan yang bertajuk, Advokasi & Promosi Kesihatan Mental disampaikan oleh Pakar Perunding Psikiatri, Dr. Ahmad Rostam; dan Pendekatan Psikospiritual Islam Dalam Isu Kesihatan Mental yang diutarakan oleh Prof. Dr. Che Zarrina Sa’ari, dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Konklusinya, bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan mental yang bersifat holistik di negara ini, ia haruslah melalui gabungan elemen rawatan dari segi ubat-ubatan (perubatan), psikologikal serta sokongan sosial dan elemen kerohanian (psikospiritual) atau ringkasnya, biopsikososialspiritual. – HARAKAHDAILY 19/10/2022

- Advertisement -