Satu lagi kemenangan 1-0 buat Liverpool

Darwin Nunez melompat menanduk gol kemenangan Liverpool
- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

Pengurus Liverpool, Juergen Klopp memuji keupayaan pasukannya meraih tiga mata menentang West Ham United selepas kemenangan getir ke atas Manchester City, hujung minggu lalu.

Tandukan Darwin Nunez, gol pertamanya di Anfield, mengesahkan satu lagi kemenangan 1-0 untuk Liverpool yang naik ke tempat ketujuh selepas permulaan kempen yang bermasalah.

- Advertisement -

Walaupun kejayaan Ahad lalu ke atas Manchester City sukar dilupakan berhari-hari, kemenangan menentang West Ham walaupun kurang dramatik, tetapi sama penting untuk mengekalkan momentum.

Nunez menjadi tajuk utama, tetapi penjaga gol Alisson, yang tendangan jarak jauhnya tepat kepada Mohamed Salah untuk menjaringkan gol menentang City, menyelamatkan tendangan penalti West Ham pada separuh masa pertama selepas Jarrod Bowen dikasari oleh Joe Gomez.

James Milner juga membuat halangan penting untuk menafikan gol penyamaan Tomas Soucek.

“Akhirnya, kami memerlukan Ali (Alisson), kami memerlukan ibu jari kaki Millie dan kami memerlukan beberapa perkara. Secara keseluruhannya, saya rasa ia patut mendapat tiga mata,” kata Klopp.

“Ia sangat penting dan tempoh yang sukar untuk semua pasukan. Jadi anda perlu mencanai keputusan itu. Kini dalam masa tiga hari, pertarungan seterusnya sudah menanti (di Nottingham Forest).

Pemain Uruguay, Nunez yang ditandatangani Jun lalu dengan bayaran awal 75 juta Euro, beraksi hebat dengan menjaringkan gol melalui tandukan ke bawah dan melakukan satu lagi percubaan mengenai tiang gawang.

“Dia cemerlang, berbakat besar dan baru berusia 22 tahun. Kami sangat teruja dengannya,” kata Klopp.

Walaupun Liverpool mula mempamerkan prestasi lebih baik, Alisson memberi amaran bahawa masih banyak kerja keras yang perlu dilakukan.

“Kami hanya perlu terus bersatu, sesuatu yang sering kami katakan. Bersatu pada masa yang sukar,” kata pemain Brazil itu.

- Advertisement -