Talibarut mengkhianati perjuangan bangsa sendiri

MENEKUNI sejarah panjang perjuangan pelbagai bangsa di dunia ini, perhatian saya terpaku pada suatu kenyataan pahit, bahawa sentiasa wujud golongan pengkhianat dari kalangan anak bangsa sendiri yang mengkhianati perjuangan. 

Advertisement

Ketika Tentera Abrahah memasuki Makkah untuk meruntuhkan Kaabah, muncul seorang pengkhianat dari Kabilah Arab Bani Thaqif bernama Abu Ghirar yang bertindak sebagai penunjuk jalan kepada Abrahah. Bila Abu Ghirar mati, kuburnya direjam oleh orang Arab jahiliyah yang datang mengerjakan haji sebagai menzahirkan kemarahan mereka kepada pengkhianatan Abu Ghirar.

Sejahat-jahat Israel, tetap ada Arab Palestin yang bersekongkol dengan Israel mengkhianati perjuangan HAMAS. Tentunya lebih jahat lagi orang Melayu yang rela dibayar Zionis untuk mengkhianati perjuangan saudara seagama. 

Dalam perjuangan orang Arab menentang penjajah, ada pengkhianat dari kalangan bangsa Arab sendiri. 

Khilafah Islam Abbasiah jatuh kerana pengkhianatan Perdana Menteri Khalifah al Muktasim Billah yang bermazhab Syiah. Khilafah Islam Uthmaniah juga jatuh pada 1924 antaranya kerana pengkhianatan umat Arab yang bersekongkol dengan tentera Inggeris. 

Ketika orang Islam Indonesia menentang penjajah Belanda, orang Indonesia juga yang menjadi talibarut Belanda. Akhirnya Indonesia dijajah oleh Belanda selama 350 tahun. 

Malah ada orang Melayu yang menjadi talibarut Portugis ketika penjajah Barat itu menawan Melaka.

Talibarut Jepun di Malaysia usah diceritakan lagi. P. Ramlee rakamkan pengkhianatan ini dalam Filem Sarjan Hasan.

Ketika DAP berusaha menghakis sedikit demi sedikit hak Melayu Islam dan Bumiputra, ada Melayu yang rela diperkudakan DAP, mengkhianati perjuangan bangsa sendiri.

Walau pahit, inilah realiti…

YB DR AZMAN IBRAHIM
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 20/10/2022