PRU15: Jangan kerana marah tidak keluar mengundi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau mendapati ramai pengundi marah dan tidak suka Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada musim banjir.

Ini susulan semalam beliau berkesempatan bersarapan pagi dan minum petang dengan masyarakat Tionghua di pekan Panchor dan Bukit Pasir, Pagoh.

- Advertisement -

“Bagaimanapun, saya meminta mereka tidak menjadikan kemarahan itu sebagai alasan untuk tidak keluar mengundi,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, semalam.

Menurutnya, tindakan sedemikian hanya akan memberikan kemenangan mudah kepada Barisan Nasional (BN).

Justeru, beliau menasihati para pengundi agar membuat pilihan yang tepat dengan memilih Perikatan Nasional melihat kepada sumbangan parti itu sewaktu mengetuai kerajaan.

Tambahnya, mereka adalah penduduk asal yang sudah berpuluh-puluh tahun tinggal di situ.

“Kami berbual tentang pelbagai perkara dan kebanyakan mereka mengeluh tentang kos sara hidup dan harga barang keperluan seharian yang meningkat sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

Katanya lagi, beliau memahami apa yang sedang mereka hadapi sama seperti beribu-ribu lagi kumpulan miskin dan berpendapatan rendah lain yang berhadapan dengan situasi yang serupa.

Menurutnya, masyarakat berketurunan Cina di Panchor pula menyuarakan rasa bimbang tentang musim hujan yang mula melanda kerana kawasan pekan Panchor merupakan salah satu tempat yang sering dilanda banjir.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan mereka supaya sentiasa berhati-hati dan mendengar nasihat agensi bantuan dan keselamatan.

Sebelum itu, ujarnya pada sebelah pagi ketika mesyuarat Badan Pimpinan Negeri Bersatu Johor, beliau menekankan tentang kepentingan semangat kerjasama, penyelarasan dan komunikasi dalam setiap gerak kerja bagi memastikan pengundi menerima mesej yang jelas tentang keberadaan Bersatu dan Perikatan Nasional dalam landskap politik negara. – HARAKAHDAILY 15/10/2022

- Advertisement -