Gesa kerajaan bantu peneroka Felda generasi keempat

- Advertisement -

KLUANG: Kerajaan perlu memberi perhatian sewajarnya kepada golongan peneroka Felda generasi keempat agar mereka mampu menyumbang kepada sektor pertanian, komoditi dan perikanan negara.

- Advertisement -

Ini sekali gus dapat memanfaatkan tenaga mereka bagi menjayakan agenda sekuriti makanan negara, demikian gesa Ketua Pemuda PAS Negeri Johor, Ahmad Nawfal Dato’ Mahfodz kepada media, di sini semalam.

“Mereka perlu dibantu dengan pelbagai inisiatif dapat disediakan kerajaan seperti skim keusahawanan, penyelidikan dan dibimbing ke arah pembangunan komersial dengan penglibatan secara langsung dalam industri,” ujarnya.

Menurutnya, golongan ini juga boleh dilibatkan secara langsung dalam produksi makanan ruminan daripada hampas sawit hingga ia mampu dieksport bagi kegunaan sektor penternakan terutama di Timur Tengah.

“Generasi ini bahkan boleh dilibatkan dalam mengurus ladang ayam, sayuran dan industri atau kegiatan pertanian berskala besar yang memenuhi jaminan sekuriti makanan dan mencukupkan permintaan bekalan protein tempatan.

“Ini bakal membantu mengurangkan pergantungan kepada import keperluan ayam yang menjadi isu sebelum ini, di samping mengekalkan harga pasaran ayam negara melalui agensi seperti FAMA dan agensi negeri,” ujarnya.

Selain itu harapnya, golongan muda generasi Felda itu turut dibantu dalam meneroka dan menceburi sektor pelancongan, sukan dan rekreasi di mana negeri Johor memiliki pelbagai tarikan yang berkenaan.

Kata Nawfal, hal tersebut dapat direalisasikan menerusi pendedahan dan kursus kemahiran seperti seni kulinari, perhotelan serta sukan lasak dan sukan rekreasi untuk menghidupkan aktiviti ekonomi pelancongan ini.

Dalam masa sama, Pemuda PAS Johor turut meminta kerajaan untuk memberi perhatian kepada menyelesaikan masalah-masalah anak muda negeri ini yang bekerja mencari rezeki di negara jiran, Singapura.

“Berdasarkan kajian, sekitar 30 peratus anak muda yang bekerja di Singapura adalah berkhidmat di bahagian kesihatan, sektor 3R dan pekerja mahir.

“Sebagai menyokong dan menggalakkan usaha mereka mencari rezeki di rantau asing, kursus Bahasa Inggeris antara boleh disediakan kepada mereka,” ujarnya mencadangkan. – HARAKAHDAILY 15/10/2022

- Advertisement -