PRU15: PAS tegas tolak PH sekeras-kerasnya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS tegas menolak Pakatan Harapan (PH) sekeras-kerasnya kerana dipenuhi dengan pelbagai kegelapan melibatkan pelbagai golongan seperti DAP, anti-Islam, LGBT, Komunis, pengkhianat serta pemberi dan penerima rasuah. 

- Advertisement -

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian dalam Kuliah Dhuha yang disampaikan secara langsung menerusi Facebook beliau dari Pantai Kelulut, Marang, sebentar tadi. 

Penjelasan tersebut menyusuli kenyataan media diberikan beliau mengenai pendirian PAS bagi PRU15 untuk terus bersama Perikatan Nasional (PN) atas dasar penyatuan ummah dan tidak membubarkan tiga negeri diperintah. 

“Tauke-tauke yang beri rasuah tolong PH, yang terima rasuah pun ada juga kumpul. Puak komunis pun ada, yang tolak raja pun ada. Raja-raja ni walaupun ada tempat kita tak setuju dengan raja, raja ada jasa juga, bawa Islam di Malaysia ni, mempertahankan Islam.  

“Ada raja yang mati syahid. Ada raja yang kena buang negeri. Raja yang dipenjara. Raja yang kena pecat. Lepas jatuh kerajaan, negeri Islam ditawan. Raja kena tawan. Orang Islam pun kena tawan.  

“Ditawan bukan saja negeri, ditawan fikirannya. Kita kena bebaskan fikiran, raja-raja dan rakyat daripada penjajah. Ini tawanan. Di Indonesia dia bunuh raja. Bunuh ulamak-ulamak di Indonesia.  

“Sebab itu di Indonesia itu walaupun rakyat dia besar orang Islamnya, lumpuh, raja-raja dibunuh oleh komunis. Komunis bunuh raja. Kemudian ulamak-ulamak dibunuh, dihapus seorang demi seorang. Hidup dalam keadaan bertabur.  

“Tempat kita ni raja ada lagi, masih ada lagi raja. Termasuklah ulamak-ulamak masih ada lagi. Dalam PH ni ada puak yang dia tolak raja, puak yang tolak Islam dan LGBT. Dia bercakap menentang rasuah. Tapi dia dapat sumbangan orang beri rasuah, LGBT dia tak lawan. Kemungkaran dia tak lawan, duduk senyap je,” bidasnya. 

Selain terdapat golongan disenarai itu, beliau juga menegaskan betapa PH menolak Raja-raja sedangkan mereka adalah Ketua Agama yang berjasa meletakkan Islam dalam Perlembagaan. 

PH katanya, berkempen kepada anak-anak muda untuk menolak atau memecat Raja-raja bagi membentuk pemerintahan secara republik sedangkan al-Quran menerima pemerintahan raja-raja. 

“Bukan kerana salah raja, tidak. Salah pemerintahan. Tak apa, kita pelihara dulu raja ni, jaga,” tegasnya menyatakan pendirian dan komitmen PAS, selain mengingatkan ramainya golongan Liberal dalam PH. – HARAKAHDAILY 14/9/2022

- Advertisement -