PAS sedia bertanding di P.042 Tasek Gelugor

- Advertisement -

PAS sedia mewakili penduduk Parlimen Tasek Gelugor (P.042) dengan meletakkan calon untuk bertanding pada PRU15 yang akan berlangsung dalam tempoh terdekat ini. 

PAS Kawasan Tasek Gelugor telah mempunyai senarai muktamad calon untuk diletakkan bagi kerusi Parlimen ini, bahkan juga bagi kerusi-kerusi negeri sekiranya pembubaran sama turut berlaku di DUN Pulau Pinang.

Jentera PAS Kawasan Tasek Gelugor melibatkan ahli-ahli dalam struktur organisasi semua Cawangan berada di kedudukan siap siaga untuk memenangkan kerusi-kerusi ditandingi. 

Sebagaimana pendirian tegas Al-Mursyidul Am PAS dan Presiden PAS mengenai Penyatuan Ummah, kami juga berpegang teguh bahawa itulah jaminan ampuh menuju kepada kemenangan dan formula bagi menyekat kemaraan Pakatan Harapan (PH).

Sebagaimana muafakat telah terjalin antara PAS bersama semua parti Melayu-Islam dan NGO-NGI sebelum ini, kami menegaskan bahawa ikatan ini mesti terus disimpul kukuh tanpa tergugat oleh adu-domba yang mahu memecahkannya.

Untuk itu, kebersamaan dan cita-cita ini mesti direalisasikan dengan memastikan strategi satu lawan satu, sekali gus PAS disokong dan didukung untuk bertanding di kerusi P.042 Tasek Gelugor oleh rakan-rakan yang lain.

Kami optimis, kaedah ini akan lebih memperkuatkan kita bersama dan saling membantu tanpa adanya lagi perpecahan dan perselisihan yang menghilangkan kekuatan di mana akibatnya telah kita sedia maklumi akan memberi kemenangan mudah kepada PH.

Inilah juga masanya dominasi DAP dan segala ketidakstabilan yang ditimbulkan mereka selama ini dapat dihenti atau ditamatkan dengan sokongan bersama parti dan NGO serta rakyat dalam kalangan bukan Melayu-Islam yang tidak ekstrem.

Insya-Allah PAS Kawasan Tasek Gelugor akan mengemukakan calon yang istiqamah, berintegriti dan berwibawa serta sedia memberikan khidmat kepada rakyat secara adil selari aspirasi dihasratkan semua Keluarga Malaysia.

“Malaysia Sejahtera”


SOBRI SALEH
Yang Dipertua PAS
Kawasan Tasek Gelugor – HARAKAHDAILY 13/10/2022

- Advertisement -
- Advertisement -