Bajet 2023 bukti pembangunan syiar Islam jadi keutamaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, Bajet 2023 membuktikan bahawa pengurusan dan pembangunan syiar Islam sentiasa menjadi senarai keutamaan Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, bagi Hal Ehwal Islam, RM1.5 bilion diperuntukkan bertujuan memperkasakan lagi pengurusan, pembangunan dan pengimarahan Islam di negara ini.

“Tentunya, Bajet kali ini membuktikan bahawa pengurusan dan pembangunan syiar Islam sentiasa menjadi senarai keutamaan Kerajaan Persekutuan,” ujarnya menerusi Facebook beliau, malam ini.

- Advertisement -

Beliau menambah, beberapa inisiatif berkaitan dengan hal ehwal Islam telah dibentangkan, antaranya bagi sektor pendidikan, RM150 juta diberikan kepada Institusi Tahfiz, Pondok Berdaftar dan Sekolah Agama Rakyat.

Katanya, ia menunjukkan peningkatan daripada Bajet 2022 lalu yang menyediakan peruntukan sebanyak RM140 juta. 

Selain itu, ujar beliau pembayaran one-off bernilai RM500 melibatkan sejumlah wang RM36 juta kepada Murabbi Ummah yang terdiri daripada guru-guru KAFA, takmir, imam, bilal, siak, noja dan marbut.

“Bayaran ini melibatkan seramai 72,000 orang. Ini sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan kerajaan buat semua Murabbi Ummah yang berjasa menegakkan syiar Islam di Malaysia,” katanya lagi.

Beliau berkata, melalui Bajet 2023 ini juga, kerajaan terus berusaha untuk merangsang pembangunan Industri Halal di Malaysia.

Tambahnya, sejumlah RM92 juta diperuntukkan bagi pembangunan halal di dalam negara mahupun global termasuklah inisiatif mengupayakan warga OKU melalui Wakaf Halal PKS OKU.

“Alhamdulillah, saya mewakili seluruh 14 agensi Islam menyambut baik peruntukan yang diberikan melalui Bajet 2023.

“Dengan harapan besar peruntukan yang diberikan dapat dimanfaatkan sebaiknya sepenuh integriti dan berwibawa. Insya-Allah,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan sekalung tahniah kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bersama #TeamMoF atas pembentangan Bajet 2023.

Pretang tadi, Tengku Zafrul telah membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat yang keseluruhannya berjumlah RM372.3 bilion. – HARAKAHDAILY 7/10/2022

- Advertisement -