Ambil peluang, manfaat daripada Bajet 2023 – Dr Samsuri

Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru seluruh jentera kerajaaan negeri, sektor swasta dan rakyat negeri itu agar mengambil peluang dan manfaat daripada Bajet 2023.

“Terlebih dahulu saya ingin ucapkan terima kasih atas beberapa projek yang diumumkan untuk Terengganu antaranya SK Paya Dusun, PPR Marang, penanaman semula ladang Orang Asli di Kemaman, pengurusan sisa pepejal di Pulau Perhentian dan projek pemuliharaan sungai di Muara Sungai Merang,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, malam ini.

Menurutnya, Bajet 2023 juga telah memberikan perhatian serius untuk sektor pertanian terutamanya bagi membasmi kemiskinan, melindungi pesawah padi, meningkatkan pengeluaran hasil pertanian, mengusahakan pertanian lestari, melaksanakan projek pertanian moden, memberi galakan kepada perniagaan dan usahawan pertanian serta membangunkan infrastruktur adalah sangat tepat dalam menangani isu sekuriti makanan di negara ini.

- Advertisement -

Selain itu, katanya inisiatif-inisiatif ini juga penting untuk Negeri Terengganu memacu sektor pertanian agar memberi sumbangan yang lebih signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negeri sekali gus menjadikan negeri itu lebih berdaya tahan dalam menghadapi sebarang ketidaktentuan pada masa hadapan.

Tambahnya, pelbagai bantuan tunai yang akan diberi berserta dengan inisiatif untuk memberdaya golongan sasar adalah pendekatan yang sangat strategik untuk kebaikan jangka panjang para penerima.

“Kerajaan Negeri Terengganu menyambut baik pendekatan ini,” ujarnya lagi.

Beliau juga berharap, Negeri Terengganu diberi keutamaan untuk mendapat manfaat daripada dana yang disediakan bagi membiayai infrastruktur pelancongan serta bagi menggalakkan, mempromosi dan memasarkan produk pelancongan di negeri itu.

“Insya-Allah Belanjawan 2023 Terengganu Darul Iman yang akan dibentangkan pada penghujung November nanti pula akan memberikan keutamaan kepada tiga teras.

“Sekali lagi, terima kasih dan tahniah atas pembentangan Bajet 2023 yang menyeluruh. Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati negara dan negeri kita,” katanya lagi.

Pretang tadi, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat yang keseluruhannya berjumlah RM372.3 bilion. – HARAKAHDAILY 7/10/2022

- Advertisement -